Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

DAP hargai tindakan PKR tak balas dendam terhadap Muda

PRN JOHOR | Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengalu-alukan tindakan PKR Johor untuk tidak membalas dendam terhadap keputusan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon parti itu di Larkin.

Lim berkata dia menghargai tindakan PKR itu dan berpendapat sudah tiba masanya untuk PH dan Muda mengetepikan kepentingan masing-masing dalam menentang BN dan PN.

“Kami kecewa kerana semua kerusi boleh dirunding kecuali satu.

“Bagaimanapun kita mesti menghargai apa yang PKR telah lakukan untuk tidak bertindak balas terhadap Muda kerana bertanding (menentang PKR) di Larkin,” kata Lim pada sidang media bersama calon PH Johor Selatan di Taman Pelangi, Stulang.

“Itu (tidak membalas dendam) mesti direkodkan dan dihargai. Ini selaras dengan semangat khemah besar Pakatan Harapan,” kata Lim.

Lim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad bahawa jentera parti itu akan menyokong rakan gabungan PH di mana-mana kerusi bertindih yang tidak diperuntukkan kepada Muda.

Bagi DAP pula, Lim berkata parti itu akan menyokong calon yang mempunyai peluang paling besar untuk menang menentang BN atau PN.

“DAP telah melaksanakan tanggungjawab mereka, kita tidak menghukum orang lain,” katanya.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Noh berkata parti itu tidak akan membalas dendam terhadap Muda kerana menghormati DAP dan Amanah, walaupun terdapat rasa tidak puas hati di kalangan ahli akar umbinya.

Muda meletakkan Ketua Penerangan parti itu di Johor, Rasid Abu Bakar sebagai calon di Larkin bagi menentang calon PKR, Dr Zamil Najwah Arbain dan empat lagi calon daripada BN, PN, Pejuang dan seorang calon Bebas.