Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Marina sahut cabaran jadi calon Melayu pertama tanding di Skudai

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Skudai, Marina Ibrahim melihat tiada masalah untuk menjadi orang Melayu pertama bertanding di kerusi tradisi Cina itu.

Menegaskan bahawa DAP adalah parti berbilang kaum, calon pertama kali pilihan raya itu berkata jika dipilih, dia akan mewakili pengundinya tanpa mengira kaum.

"Kita tak kisah bantu, tak lihat kulit atau kaum. Kita blh bantu semua orang tanpa kira siapa dan saya rasa saya ada kebolehan tersebut.

"Keterbatasan bahasa tidak akan jadi sebarang masalah bagi saya, dan saya anggap itu sebagai cabaran," katanya pada majlis pelancaran pusat gerakannya di Taman Ungku Tun Aminah hari ini.

Mengikut anggaran, 61.8 peratus daripada 102,828 pengundi Skudai adalah Cina, diikuti 23.4 peratus Melayu, 13.7 peratus Cina, dan 1.1 peratus kaum lain.

Sejak kerusi itu diwujudkan pada 1995, ia hanya mempunyai calon Cina, kecuali pada 2018 yang turut menampilkan calon dari MIC.

Tahun ini, Marina akan menentang Lim Soon Hai dari BN dan Khoo Kong Ek dari Perikatan Nasional (PN).

Marina berkata, dia tidak mempunyai masalah bekerja dengan masyarakat Cina dan sudah mempunyai banyak pengalaman semasa bekerja di Kulai dan Layang-Layang.

Semasa pelancaran hari ini, dia menyanyikan ayat daripada lagu Hokkien yang diterjemahkan secara longgar kepada "Tiga mata sudah ditakdirkan, tujuh mata bergantung pada kerja keras, tanpa usaha, tiada hasil".

Ia disambut dengan sorakan daripada 30 orang yang hadir, kebanyakannya pemimpin DAP dan pekerja parti.

"Lagu ini sangat bermakna kepada saya kerana (ia memberi gambaran) 30 peratus nasib yang ditetapkan oleh tuhan dan 70 peratus adalah usaha sendiri.

"Untuk memenangi Skudai saya akan berusaha sehingga berjaya. Sekiranya saya dipilih, saya akan pastikan lebih 100 peratus usaha untuk memimpin Skudai," katanya.

Ditanya kemudian apa yang dia akan lakukan jika ada isu perkauman yang timbul, wanita berusia 35 tahun itu berkata dia tidak akan membuat kesimpulan.

"Jika ada isu perkauman dicetuskan saya tak akan terus hakimi atau capai kesimpulan. Saya percaya isu itu dipermainkan kerana mereka kurang faham.

"Salah faham ini timbul sebab kita tak nak cuba untuk memahami. Kalau kita berusaha untuk memahami, seperti apa yang saya lakukan sebelum ini, saya percaya mereka sebenarnya boleh hidup aman damai.

"Cuma ada sesetengah pihak yang sengaja mencetuskan isu, sebab isu perkauman yang paling senang memecahkan Malaysia," katanya.

DAP pada asalnya merancang untuk meletakkan Marina di Layang-Layang, tetapi selepas PKR mengambil alih kerusi itu, dia dipindahkan ke Skudai - yang sebelum ini disandang Tan Hong Pin.

Tan digugurkan dari bertanding, namun ditawarkan kerusi parlimen Labis pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ditanya sama ada dia akan memasukkan Tan dalam pasukan kempennya, Marina berkata dia dan penyandang Skudai itu mempunyai hubungan mesra.

Dia berkata dia sering meminta bimbingannya, dan dia akan terus berbuat demikian serta meneruskan usaha Tan yang belum selesai jika dipilih.