Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Calon, kumpulan wartawan gesa beri akses buat liputan PRN

Calon PKR Larkin Dr Zamil Najwah Arbain berharap media diberi ruang secukupnya untuk menjalankan tugas membuat liputan pilihan raya negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung.

Zamil, seorang daripada enam calon di N44 Larkin, sebelum itu hadir di pusat penamaan calon di Dewan JKR, Larkin, di mana seorang wartawan dikenakan kompaun RM1,000 kerana didakwa gagal mematuhi langkah penjarakan fizikal.

“Saya terkejut dengan kompaun RM1,000 yang dikeluarkan serta-merta kepada petugas media semasa tempoh penamaan calon pagi tadi.

“Pada pandangan saya, ini adalah satu bentuk ugutan terhadap media yang berperanan memaksimumkan akses kepada maklumat dan liputan untuk rakyat semasa pilihan raya negeri ini,” kata Zamil dalam satu kenyataan.

“Saya berharap rakan media terus diberikan akses untuk membuat liputan mengenai pilihan raya negeri untuk rakyat di bawah sekatan yang munasabah dan terhad,” tambahnya.

Awal hari ini, seorang wartawan Sin Chew Daily, Wong Kian Yong, 42, dikenakan denda RM1,000 selepas pihak berkuasa mendakwa dia gagal mematuhi syarat penjarakan sosial.

“Saya terkejut. Ketika saya ingin mendapatkan nombor telefon calon, tiba-tiba seorang pegawai datang dan mengatakan saya melanggar SOP (prosedur operasi standard).

“Kompaun RM1,000 dan saya agak kecewa kerana kami (media) hanya menjalankan tugas,” katanya.

Selain Wong, dua petugas media dari portal dalam talian Malaysia Gazette turut diberi amaran rasmi oleh polis dan pihak berkuasa kesihatan.

Ketika dihubungi, wakil Gerakan Media Merdeka Noor Azam Shairi berkata pihak berkuasa perlu membantu media dalam menjalankan tugas sepanjang kempen menjelang hari pengundian pada 12 Mac ini.

“Walaupun pihak berkuasa mempunyai tugas untuk menguatkuasakan prosedur pencegahan Covid-19, menyekat akses media, termasuk dengan mengeluarkan denda adalah tindakan yang keras.

"Semua pihak termasuk pihak berkuasa, calon dan pasukan mereka sebaliknya perlu memudahkan liputan selamat sepanjang pilihan raya ini," kata Noor Azam.

Dia menambah bahawa kakitangan media di lapangan juga harus mencari jalan untuk meminimumkan risiko tanpa mengorbankan peranan mereka sebagai pemberi maklumat awam.

Pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas Wathshlah G Naidu bersetuju, berkata kerajaan dan pihak berkuasa harus mengiktiraf tugas positif pengamal media dengan memudahkan dan memastikan ruang yang selamat.

"Langkah-langkah keselamatan sepatutnya diletakkan untuk mengekalkan penjarakan sosial dan, pada masa yang sama, menyediakan platform di mana media boleh mempunyai akses yang lancar dan sama rata kepada calon dan sumber lain semasa penamaan calon.

"Adalah penting bagi media untuk mempunyai akses sama rata kepada parti dan calon berbeza yang terlibat dalam pilihan raya bagi memastikan maklumat yang tidak berat sebelah dan tepat mengenai isu berkaitan pilihan raya," katanya.

Selain Larkin, pusat penamaan calon lain di sekitar Johor melaporkan pelbagai peringkat sekatan ke atas liputan media, manakala program lain sepanjang tempoh kempen juga tertakluk kepada prosedur pencegahan Covid-19.