Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Calon BN penyokong kluster mahkamah - Hamzah

PRN JOHOR | Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Johor, Hamzah Zainuddin meminta rakyat Johor menolak calon BN yang digelarnya sebagai penyokong "kluster mahkamah".

Hamzah berkata, biarpun senarai calon BN yang dipertaruhkan bukan daripada kumpulan itu, namun mereka akan memastikan ‘kumpulan kluster mahkamah boleh dipertahankan’.

“Kita hendak supaya kerajaan PN nanti adalah mereka yang telah pun melalui saringan integriti serta pastikan calon yang kita pilih itu tahu apa rakyat mahukan.

“Walaupun yang bertanding bukan kluster mahkamah tetapi mereka juga adalah penyokong kluster mahkamah. Rakyat tidak mahu mempertahankan orang yang menyokong (kluster mahkamah),” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Hamzah berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon PN di Pulai Spring Resort, Johor Bahru kelmarin.

Hamzah merujuk kepada beberapa pemimpin Umno yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah terutama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presidennya, Najib Razak.

Najib sejak kebelakangan ini giat berkempen untuk BN.

Hamzah berkata kerajaan hanya boleh stabil apabila sesebuah negeri dipimpin oleh mereka yang berintegriti.

“Apa makna kestabilan jika pemimpinnya ada masalah. Apabila rakyat yakin, maka stabillah negara itu.

“Negeri itu tidak akan stabil sekiranya orang tidak yakin untuk melabur disebabkan semua pemimpinnya dipersoalkan. Inilah yang nak kita lakukan (apabila meletakkan integriti keutamaan pada calon),” katanya.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, jentera PN kali ini lebih tersusun berbanding PRN Melaka ekoran pembubaran DUN secara tiba-tiba.