Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Banjir: APM bantu bawa jenazah ke kubur guna bot

Jenazah seorang lelaki berusia lingkungan 20-an terpaksa dibawa ke tanah perkuburan menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini berikutan kawasan kediamannya di Taman Bukit Sireh, Kuala Krai, dilanda banjir.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Krai Kapten (PA) Abd Fatah Abd Aziz berkata pihaknya menerima panggilan memohon bantuan menguruskan jenazah Muhammad Shahrul Nizam Saufi yang meninggal dunia akibat kanser usus pada jam 12 tengah hari tadi.

“Kami dimaklumkan oleh keluarga arwah mengenai jalan di kampung itu yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan akibat dinaiki air sedalam 0.2 hingga 0.5 meter.

"Lima anggota APM membawa jenazah menggunakan bot sejauh 5km dari rumah (keluarga arwah) di Taman Bukit Sireh ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bedal," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu tinjauan Bernama di Blok Pasir Puteh di Kampung Batu Mengkebang mendapati hampir 100 keluarga tidak dapat keluar melakukan urusan harian selepas laluan ke kampung itu dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak Rabu.

Seorang penoreh, Rosmadi Ab Manaf, 40, berkata beberapa laluan di kampung terbabit mula dinaiki air sejak pukul 10 pagi tadi menyebabkan ia tidak dapat dilalui kenderaan.

"Air sungai turut melimpah sehingga menenggelamkan jalan utama yang sering digunakan penduduk kampung,” katanya.

- Bernama