Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Nama Najib di senarai individu Jho Low mahu sogok, kata Leissner

Bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Selatan, Tim Leissner memberi keterangan di mahkamah bahawa diapernah melihat Jho Low merangka senarai sasaran rakyat Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang perlu mereka rasuah.

Dia bagaimanapun tidak memaklumkan kepada mahkamah jika rasuah itu benar-benar dibayar.

Leissner berkata dia berjumpa dengan Jho Low di bahagian Mayfair di London pada 2012 berhubung perjanjian untuk Goldman Sachs mengumpul dana AS$1.75 bilion untuk 1MDB, yang memerlukan penjamin luar.

Dalam pertemuan itu, Jho Low didakwa melukis beberapa kotak di atas sekeping kertas. Di satu bahagian adalah senarai pegawai Malaysia dan satu lagi pula senarai pegawai UAE, kata Leissner.

“(Jho Low kata bayaran) mestilah sama dan dipercayai atau dianggap sama.

"Dalam fikiran saya, itu bermakna kedua-dua pihak perlu dapat AS$100 juta... Saya tidak boleh kata saya terkejut," kata Leissner, menurut Bloomberg.

Menurut laporan Bloomberg, Leissner memberi keterangan bahawa senarai itu termasuk Najib Razak, perdana menteri Malaysia ketika itu, dan timbalan perdana menteri UAE semasa itu, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan.

Kerajaan UAE tidak menjawab permintaan Bloomberg untuk mendapatkan ulasan. Malaysiakini sedang mendapatkan komen daripada pejabat Najib.

Leissner memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jho Low "berkata sheikh tidak akan bangun dari katilnya dengan bayaran kurang daripada AS$100 juta".

Selepas pertemuan itu, menurut Leissner, dia dan pegawai bawahannya Roger Ng bersetuju untuk tidak menyebut mengenai sogokan itu kepada sesiapa di luar mesyuarat tersebut.

"Sogokan perlu dibayar untuk menjadikannya kenyataan," katanya, "tetapi kami sentiasa tutup mulut."

Tiada petunjuk dalam laporan Bloomberg bahawa Leissner mengesahkan bahawa sogokan telah diberikan.

Leissner ialah saksi utama pihak pendakwaan dalam perbicaraan terhadap Ng, seorang warga Malaysia, yang didakwa melanggar undang-undang anti-rasuah dan pengubahan wang haram Amerika Syarikat.

Pada 2020, Leissner mengaku bersalah atas pertuduhan serupa dan didenda AS$44 juta.

Bon AS$1.75 bilion itu dikeluarkan pada 19 Okt 2012 untuk 1MDB memperoleh aset loji janakuasa. Seperti bon lain yang diperoleh 1MDB, hasil itu dipercayai telah diselewengkan.

[Baca berita penuh]