Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Cawangan Pekida mahu KDN bawa isu buku Gay is OK ke Mahkamah Rayuan

Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) daerah Barat Daya, Pulau Pinang, mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) membawa isu buku Gay is OK! A Christian Perspective ke Mahkamah Rayuan.

Pengerusinya, Norhisyam Ahmad, berkata meskipun kupasan buku tersebut merujuk kepada perspektif Kristian, tetapi agenda utama penghasilan bahan bacaan itu adalah menghasut atau mengdoktrin pemikiran pembaca khususnya anak muda supaya menerima agenda LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender).

“Justeru, Pekida Barat Daya mendesak sekeras-kerasnya agar KDN mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan untuk buku itu terus diharamkan daripada diterbitkan, dijual dan diedarkan di negara kita.

"Pada masa sama juga kerajaan digesa supaya memantau buku-buku, artikel dan penulisan lain yang cuba mempromosi fahaman seks songsang ini di dalam negara kita.

“Pekida Barat Daya juga mendesak supaya pihak kerajaan mengambil tindakan tegas mengharamkan mana-mana pertubuhan berdaftar yang dikenal pasti mempromosi dan melakukan aktiviti-aktiviti seks songsang dan seks bebas di dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 22 Feb, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Buku Gay is OK! A Christian Perspective dijual dan diedarkan di Malaysia.

Ia susulan mahkamah terbabit membenarkan cabaran undang-undang terhadap perintah larangan kerajaan ke atas buku itu.

Pekida Barat Daya turut mengingatkan semua pihak, jika negara membuka ruang atau menerima budaya hubungan songsang, ia akan meresapi pemikiran anak muda dan akan memberikan kesan yang sangat buruk.

“Perbuatan ini bukan hanya dilarang di dalam Islam, malah agama-agama lain juga turut melarang penganutnya melakukan hubungan sejenis dan seks bebas.

“Isu LGBT tidak boleh dibiarkan bertapak di negara ini.

“Penguatkuasaan dan tindakan tegas daripada kerajaan amatlah diharapkan untuk membasmi habis-habisan kegiatan dan fahaman tidak bermoral ini kerana ia bukan sahaja suatu perbuatan yang sangat jijik dan keji di pandangan mata tetapi juga di sisi Allah,” katanya.