Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR tak akan langgar kerusi Muda kerana hormati Amanah, DAP

PKR memutuskan untuk tidak bertindak balas terhadap Muda yang bakal bertanding di kerusi Larkin yang diperuntukkan kepada parti itu.

Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata keputusan itu dibuat kerana menghormati Amanah dan DAP yang memperuntukkan enam kerusi kepada Muda.

Sebelum ini beberapa pemimpin akar umbi PKR memberi amaran bahawa parti itu mungkin bertanding di enam kerusi berkenaan jika Muda meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PKR.

“Saya amat kesal akan tindakan Muda tersebut kerana ia jelas tidak menghormati semangat kebersamaan pembangkang dalam membela masa depan rakyat dan negeri Johor dalam PRN.

“Bagaimanapun PKR tidak akan mengambil langkah serupa untuk melanggar kerusi Muda pula kerana menghormati rakan-rakan Amanah dan DAP dalam PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Muda mengumumkan calon terakhirnya bagi enam kerusi iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Bagaimanapun, ia turut mengumumkan calon ketujuh di Larkin yang PKR sudah pun mengumumkan Zamil Najwah Arbain sebagai calonnya.

PKR tidak memberi Muda sebarang kerusi selepas rundingan mereka gagal.

Syed Ibrahim berkata jika Muda meneruskan tindakan itu, PKR tidak akan membantu kempen parti pimpinan pemuda itu dan akan menumpukan sumbernya untuk membantu Amanah dan DAP.

Amanah dan DAP telah berusaha untuk menjadikan Muda sebagai rakan strategik Pakatan Harapan.

"Muda masih ada masa untuk menimbang semula tindakannya sebelum penamaan calon pada 26 Februari,” Syed Ibrahim.

Hari penamaan calon telah ditetapkan esok, dan ia akan menentukan nama calon-calon bertanding yang akan tertera pada kertas undi.

Syed Ibrahim mengingatkan bahawa langkah Muda itu bercanggah dengan pendekatan membawa suara rakyat dan lawan musuh bersama, malah lebih buruk lagi, ia seolah-olah memberi kemenangan kepada lawan.