Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kelajuan internet Malaysia lembap bukti kerajaan gagal laksana 5G

KATA ADUN l Sejak tahun 2021, Malaysia dilihat akan menjadi negara corot (laggard) jika kerajaan Umno-Bersatu-PAS tidak mengubah keputusannya untuk melaksanakan rangkaian 5G menerusi monopoli Digital Nasional Bhd (DNB).

Sepertimana yang disuarakan dan dikhuatiri, daya saing Malaysia dari segi kelajuan internet dilaporkan telah menjunam di peringkat rantau Asia Tenggara.

Lebih memalukan, kelajuan Internet di Malaysia ketika ini adalah lebih teruk berbanding Vietnam, Filipina dan Indonesia yang mempunyai pendapatan negara kasar per kapita yang jauh lebih rendah berbanding Malaysia.

Laporan OpenSignal baru-baru ini menunjukkan bahawa kelajuan muat turun Internet di Malaysia lebih lembab di belakang Singapura, Vietnam, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Pada suku keempat 2021, kelajuan muat turun Singapura adalah 49.9Mbps berbanding hanya 13.5Mbps di Malaysia.

Ini disebabkan majoriti rakyat Malaysia masih belum dapat menikmati akses 5G, walaupun teknologi tanpa wayar itu telah mula dilaksanakan di negara-negara jiran.

Singapura sudah mempunyai akses 5G meliputi dua-pertiga negara itu. Di Indonesia pula, jaringan 5G sudah wujud sejak Jun 2021 menerusi tiga syarikat telekomunikasi. Manakala, di Thailand, syarikat telekomunikasi terbesarnya telah menawarkan liputan 5G di 76 peratus lokasi negara itu setakat tahun lepas.

Di negara-negara ini, rangkaian 5G dilaksanakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dan spektrum 5G telah ditawarkan menerusi bidaan kompetitif.

Malangnya, di Malaysia, kerajaan Umno-Bersatu-PAS telah mewujudkan satu monopoli 5G di bawah DNB dan ini telah melengahkan pelaksanaan 5G di Malaysia.

Ia juga telah menerima tentangan besar daripada syarikat-syarikat telekomunikasi.

Walaupun kerajaan telah berjanji untuk membuat keputusan sebelum penghujung Januari 2022 sama ada pelaksanaan 5G akan diteruskan menerusi DNB atau sebaliknya, namun, masih tidak ada sebarang keputusan diumumkan. Ternyata, kerajaan Umno-Bersatu-PAS tidak serius menangani isu ini.

Justeru, saya tegaskan sekali lagi bahawa langkah penyelesaian terbaik adalah untuk menghentikan monopoli DNB. Pegangan ekuiti dalam DNB, yang ketika ini dimiliki 100 peratus oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) harus dijual kepada syarikat-syarikat telekomunikasi.

DNB harus ditukar menjadi satu konsortium yang dibentuk oleh semua syarikat telekomunikasi di Malaysia, dan pelaksanaan 5G boleh digerakkan secara kolektif. Memandangkan 5G ini adalah komoditi awam, saya mencadangkan agar kerajaan memegang saham emas dalam konsortium baru ini.

Kelengahan kerajaan membuat keputusan akan merencat daya saing ekonomi dan perindustrian Malaysia sedikit demi sedikit.

Malahan, kos sebanyak RM20 bilion bagi membangunkan projek 5G ini akan menjadi satu lagi siri pembaziran mega yang seterusnya menambah beban hutang negara dan menyusahkan hidup rakyat.


FAIZ FADZIL ialah Adun Permatang Pasir

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.