Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Leissner, Ng guna isteri selindung sogokan 1MDB

Dua pegawai Goldman Sachs merangka rancangan melibatkan isteri mereka untuk menyelindung sogokan yang diterima selepas terlibat menyelewengkan dana 1MDB, menurut salah seorangnya dalam perbicaraan ke atas seorang lagi pegawai itu, Roger Ng, Khamis lalu.

Tim Leissner, yang menjadi penyelia Ng di Goldman sebelum menjadi saksi pihak kerajaan terhadapnya, berkata dia menerima wang sogokan daripada perantara pihak Malaysia, Jho LOw, kerana membantu menggelapakn dana yang diraih Goldman untuk 1MDB menerusi tiga penjualan bon.

Leissner memberi keterangan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah, manakala Ng mengaku tidak bersalah atas tuduhan subahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Pertuduhan itu tercetus daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah, dengan pendakwa AS berkata AS$4.5 bilion daripada AS$6.5 bilion yang diraih Goldman untuk 1MDB disalurkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan sekutu mereka dalam bentuk rasuah dan sogokan.

Leissner, 52, berkata selepas penjualan bon pertama pada 2012, dia menerima AS$35 juta daripada Low, dan menyalurkan separuh daripada jumlah itu kepada Ng.

Roger Ng

Roger Ng

Roger Ng

Kedua-duanya kemudian berbincang untuk merangka “cerita” bagi menjelaskan bayaran itu agar bank yang memproses wang tersebut tidak mengesyaki sesuatu, kata Leissner.

“Keluarga isterinya sebelum ini membuat pelaburan dalam perniagaan isteri saya, Judy di China, dan ini adalah hasil daripada pelaburan itu,” kata Leissner kepada juri di mahkamah persekutuan Brooklyn.

Dia merujuk kepada bekas isterinya, Judy Chan.

Leissner berkata cerita itu tidak benar, dan dia tidak pasti jika Ng, 49, menyatakannya kepada banknya.

Keterangan itu boleh membawa masalah kepada Ng.

Isteri Ng mungkin beri keterangan

Peguamnya, Marc Agnifilo, menafikan bayaran tersebut adalah sogokan dan berkata isteri kedua-dua lelaki itu mempunyai perniagaan yang sah secara bersama.

Agnifilo berkata dia merancang untuk menghubungi isteri Ng, Hwee Bin Lim, untuk memberi keterangan dalam pembelaan suaminya.

Dia juga mungkin membangkitkan bayaran itu ketika pemeriksaan balas dengan Leissner, yang hanya akan diadakan minggu depan selepas Jabatan Kehakiman AS (DOJ) menangguhkan pendedahan kira-kira 15,500 dokumen berkaitan Leissner kepada pihak pembelaan.

Dalam pernyataan pembukaannya, Agnifilo membayangkan dia akan mencabar kewibawaan Leissner dengan membangkitkan hubungan sulitnya.

Khamis lalu, Leissner dalam keterangannya berkata, pada 2013, ketika dia berpisah dengan Chan, dia memalsukan surat penceraian untuk mengahwini Kimora Lee Simmons, seorang model dan bekas isteri produser muzik, Russell Simmons.

Pada 2020, Goldman membayar denda kira-kira AS$3 bilion dan mengaturkan unit Malaysianya agar mengaku bersalah di mahkamah AS.

Pihak pendakwaan mendakwa Low pada 2018, tetapi dia belum ditangkap oleh pihak berkuasa Amerika mahupun Malaysia. Malaysia berkata Low kini berada di China, yang telah dinafikan Beijing.

-Reuters