Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Akta ekonomi gig, satu alternatif 

Setelah Revolusi Industri 4.0, seluruh dunia mengalami perubahan drastik daripada segi  ekonomi dan perniagaan. Ini secara tidak langsung mengubah landskap dunia pekerjaan. Perkembangan dunia teknologi menyebabkan wujudnya perniagaan yang dipanggil  ‘disruptive’ kerana ‘mengganggu’ status quo atau kebiasaan aturan dalam industri. 

Oleh sebab itu, terdapat keperluan yang besar terutamanya di pihak pembuat dasar untuk  menilai semula akta dan undang-undang sedia ada bagi memastikan tiada kumpulan yang tertindas dalam aturan baharu ini.  

Ini termasuklah ‘unicorn2’ yang muncul dan berjaya mengambil peluang daripada  kemudahan teknologi yang memungkinkan mereka melangkah laju dan meraih  keuntungan luar biasa.  

Antaranya termasuklah perniagaan aplikasi berdasarkan platform yang tidak perlu  mematuhi beberapa prosedur dan undang-undang sepertimana perniagaan lain. 

Walaupun ini memberikan kelebihan kepada mereka, namun begitu pembuat dasar haruslah mengambil tahu  sekiranya terdapat perkara yang boleh menyebabkan berlakunya penindasan baharu  dalam landskap baru.

Perubahan ini juga membuatkan pekerjaan makin dilihat sebagai komoditi. Pekerjaan yang mudah ditukar, dijual beli dan sebaiknya tidak kuat ditadbir undang undang.  

Landskap pekerjaan yang berubah ini membuatkan terlepasnya perkara-perkara asas  dalam undang-undang yang selama ini menjamin kebajikan mererka yang menjalankan tugasan  bagi mendapatkan bayaran. Contohnya terhadap golongan pekerja gig seperti pemandu e-hailing

Mereka ini sebenarnya  golongan rentan yang terdedah dengan pelbagai diskriminasi.  

Mereka golongan yang mengeluarkan kos yang banyak untuk memulakan  servis yang dipasarkan sebagai ‘rakan niaga’, Namun begitu, tidak terdapat sebarang akta dan  undang-undang yang melindungi mereka. 

Sebaliknya, terdapat beratus-ratus kes dan isu yang  timbul dan tidak dapat diselesaikan disebabkan kelompongan undang-undang.  

Antara contoh isu yang timbul ialah isu pemandu e-hailing yang ditamatkan perkhidmatan tanpa  sebarang justifikasi, isu penilaian berat sebelah, bayaran tidak setimpal, perubahan terma dan syarat tanpa persetujuan jelas sehingga mengakibatkan kerugian vendor makanan.  

Pindaan akta kerja

Dengan pelbagai isu ini, kerajaan tidak berupaya melindungi dan mencari penyelesaian disebabkan ketiadaan undang-undang yang sesuai untuk menyelesaikan  kemelut ini. Misalnya sehingga sekarang, kes Puan Ivy Loh masih tidak ada jalan penyelesaian.  

Kerajaan baru-baru ini membentangkan pindaan pada Akta Kerja 1955 dalam bacaan  pertama yang memasukkan definisi-definisi baru untuk mengkategorikan seseorang itu sebagai  pekerja.

Ini termasuklah cara kerja yang tertakluk dengan arahan dan hala tuju orang lain,  keadaan apabila servis seseorang itu penting untuk keberlangsungan sesebuah  perniagaan dan keadaan seseorang itu diberikan alatan atau material untuk melaksanakan  sesuatu tugasan.

Definisi-definisi ini bertepatan dengan kriteria pekerjaan seperti pemandu e-hailing. Ia seiring dengan definisi dan kriteria standard global yang menjadikan hubungan  seseorang itu persis hubungan pekerja-majikan, berbanding sebagai kontraktor bebas, khususnya daripada segi tahap penguasaan dan kebebasan antara kedua  pihak dalam aturan kerja tersebut.  

Sebagai contoh, apabila pemandu e-hailing mendapat tawaran tugasan mengambil penumpang  yang jauh daripada lokasinya dan menolak tawaran tersebut, penilaian prestasi beliau boleh  merudum. 

Begitu juga apabila terdapat aduan daripada penumpang, syarikat pembekal  platform mempunyai hak dan kuasa menamatkan perkhidmatan pemandu tersebut sebarang ruang pembelaan diri. 

Pemandu juga tidak bebas menyiapkan  tugasan yang diberikan, sebaliknya akan dipantau sepanjang perjalanan. Semua ciri-ciri  pekerjaan ini menjurus kepada tingginya kekuasaan pembekal platform dan rendahnya autonomi pemandu untuk dikriteriakan sebagai kontraktor bebas.  

Setelah pelbagai tekanan, kerajaan akhirnya mengeluarkan pindaan ini. Namun begitu pindaan  sebegini dijangka tidak dapat menyelesaikan permasalahan yang ada dalam  landskap dunia digital disebabkan norma dan cirinya yang berlainan dengan landskap  dunia pekerjaan tradisional. 

Antara persoalan yang timbul adalah kebolehlaksanaan terma fleksibliti, iaitu bahagian baru  yang dimasukkan - pekerja boleh memohon untuk pekerjaan fleksibel, kesesuaian bahagian-bahagian lain seperti cuti materniti, pengiraan gaji minima, pengiraan kadar lebih  masa, penentuan hari rehat dan proses terminasi.

Terma baru seperti ‘pekerja bebas’  

Oleh itu, adalah lebih wajar untuk kerajaan memikirkan akta baru yang lebih  sesuai untuk digunakan dalam landskap pekerjaan digital yang sudah jelas berlainan daripada landskap pekerjaan tradisional. 

Antara cadangan yang dikemukakan oleh beberapa badan  pemikir seperti Refsa dan The Centre adalah kewujudan terma baru seperti ‘pekerja bebas’  ataupun akta baru seperti Akta Kerja Saksama. Kerajaan juga boleh mengambil kira proses  yang dilalui oleh vendor makanan untuk memastikan setiap pemain dalam landskap ekonomi digital tidak ditindas. 

Akta baru seperti Akta Ekonomi Gig - yang terdapat definisi jelas dan cakupannya bukan  hanya untuk pekerja, tetapi juga untuk vendor, perniagaan dan semua pemain dalam industri - boleh diperhalusi dan diperkenal.  

Akta dan polisi menyeluruh dalam dunia digital ini akan membantu membentuk hala tuju  Malaysia dalam landskap digital sekali gus membuatkan implementasi lebih mudah serta  meningkatkan keyakinan pelabur. 

Negara-negara maju sudah pun melakukan kajian akta ekonomi gig  seperti di Amerika Syarikat. Sebahagian lain sudah pun membuat perubahan akta. Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam perkara ini, sebaliknya haruslah pantas  dan komprehensif dalam menggubal dasar bagi membolehkan kita berada di tahap yang tinggi  dalam ekonomi digital. 


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.