Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Jawapan kepada kekeliruan isu Loh, anak-anak

ULASAN | Kes Loh Siew Hong ini sangat rumit kerana implikasinya bukan saja dari segi pentafsiran perundangan negara malah melibatkan sensitiviti dalam hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

Fakta kes ialah suami Loh yang bernama Nagashwaran memeluk Islam menjadikan ikatan perkahwinan mereka terbubar secara perundangan. Pada Mac 2021, Loh telah mendapat penghakiman hak penjagaan anak-anak secara sepenuhnya tetapi gagal mendapatkan hak tersebut.

Sementara itu pihak Jabatan Agama Islam Perlis - melalui persetujuan bekas suami Loh - telah mengislamkan tiga anak mereka yang masing-masing berusia 14 tahun dan 10 tahun.

Ketika artikel ini ditulis, Loh sebagai ibu kepada anak-anaknya telahpun mendapat hak penjagaan melalui penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang diputuskan pada 21 Feb lalu.

Walaupun fakta kes nampaknya hanyalah isu perundangan biasa tentang hak penjagaan, namun implikasi sosial dan politik membentuk suasana luar biasa di luar mahkamah daripada kalangan beberapa NGO yang membawa naratif kebimbangan mengenai agama ketiga-tiga anak Loh akan dicabar oleh wanita terbabit secara perundangan.

Kebimbangan ini berasas, namun sikep berlebih-lebih dalam hal ini menimbulkan kekeliruan malah ada yang akan mengambil kesempatan menimbulkan ketegangan hubungan antara kaum dalam negara ini.

Naratif besar yang dibawa oleh sebahagian kelompok NGO itu menggambarkan seolah-olah akidah Islam tidak dibela dan menunjukkan kelemahan umat Islam semasa kerana membisu dalam hal ini.

Ia juga dikaitkan dengan kegagalan kepimpinan politik orang Melayu melakukan sesuatu demi membela akidah Islam.

Memburukkan nama Islam

Keadaan diburukkan dengan reaksi balas kelompok bukan Islam terhadap kes ini sehingga berlaku berbalas-balas tuduhan di antara Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, dan Mufti Perlis Mohd Asri Zainal Abidin (Maza).

Masing-masing mempunyai pengaruh dan pengikut mereka diheret dalam kancah perbalahan ini. Sedihnya kebajikan dan tekanan emosi kanak-kanak yang ibu bapa mereka bercerai seolah-olah tenggelam dalam kemelut ini.

Kes penukaran agama tiga anak Loh itu bertukar menjadi polemik hubungan tegang di antara kaum dan agama. Sebagai ahli legaslatif, saya cuba melihat isu ini secara objektif dari sudut kerangka perundangan negara serta implikasinya kepada konflik hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

Saya juga berasa bertanggungjawab melunaskan berbagai kekeliruan yang terbangkit dari nuansa-nuansa negatif yang meletakkan isu ini di atas garisan kebencian dan permusuhan sekali gus memburukkan nama baik Islam.

Penulisan ini tidak berniat menyalahkan sesiapa dan saya yakin semua pihak yang terlibat dalam konflik ini mempunyai niat ikhlas (bona fide) dan mahu melihat penyelesaiannya dengan berniat suci (good faith).

Saya hanya bimbang pada pihak yang mengambil kesempatan - secara sedar atau tidak - mengeksploitasi keadaan dengan tindakan dan kenyataan yang berupaya membangkitkan sentimen kebencian antara rakyat tanpa mengkhususkan terhadap mana-mana agama atau kaum.

Tiada nas yang jelas

Saya akan menjelaskan beberapa fakta penting dalam penulisan ini dengan izin Allah, berpandukan kepada tiga paksi utama, iaitu:

a. Dakwaan tidak bela akidah Islam daripada beberapa NGO dalam kes ini

b. Fakta konflik perundangan, dan

c. Tindakan politik yang wajar diambil

Untuk paksi pertama (kononnya pihak yang tidak bersama dengan sebahagian NGO terbabit dituduh tidak membela akidah Islam), ia adalah dakwaan yang tidak berfakta malah cuma mahu menaikkan sentimen kebencian.

Ini adalah kerana asas permasalahan yang kita sedang hadapi dalam kes ini adalah situasi melibatkan salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam dan kemudian mengislamkan anak-anak mereka yang di bawah umur sehingga menimbulkan konflik perundangan.

Fakta situasi ini penting kerana kesannya membawa implikasi fikah dan perbahasannya, implikasi perundangan negara dan implikasi hubungan antara agama dan kaum dalam negara ini.

Keseluruhan implikasi ini perlu diberi keadilan sebelum apa-apa rumusan dibuat terhadap pihak yang berbeza pandangan.

Bagi implikasi fikah, pandangan para fuqaha' berbeza-beza kerana tiada nas yang jelas dari al-Quran mahupun sunnah mengenai apakah hukumnya. Para fuqaha' bersandar kepada dalil umum tentang kebenaran Islam seperti Islam adalah agama di sisi Allah (ali-Imran: 19) dan hanya Islam sebagai agama yang diterima oleh Allah (ali-Imran: 85) dan tentang kemuliaan Islam (hadis riwayat al-Baihaqi).

Dalil umum ini perlu diletakkan kepada prinsip keseluruhan syariah (al-ahkam al-kulliyah) untuk diperincikan seperti nilai kemanusiaan, kasih sayang dan rahmah dalam institusi kekeluargaan. Sebab itulah mereka berbeza pandangan tentang status agama anak dalam memperincikan situasi yang keluar dari hukum asal.

Para fuqaha' menjadikan maqasid khusus dalam hubungan kekeluargaan sebagai panduan formulasi hukum mereka.

Buktinya, mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi meletakkan status agama anak terletak kepada keislaman salah seorang pasangan yang memeluk Islam. Anak-anak menjadi Muslim atas keislaman ibu atau bapanya yang memeluk Islam atas dalil umum.

Dalam mazhab Maliki pula, ia tidak mensyaratkan keislaman kanak-kanak bawah umur atas jalur pengislaman, bahkan status agama anak bawah umur hendaklah mengikut jalur nasab.

Kebajikan pertimbangan utama

Anak-anak bawah umur itu hanya menjadi Muslim jika bapanya yang memeluk Islam. Ada yang berpendapat status agama kepada anak bawah umur dipilih oleh anak sendiri sama ada mahu mengikut ibu atau bapanya tanpa meletakkan syarat Islam.

Namun demikian tiada khilaf dalam kalangan mazahib fikah bahawa dalam hal penjagaan anak-anak (hadhanah), kebajikan anak-anak dan perkembangan moral, fizikal, mental dan emosi mereka yang belum akil baligh adalah keutamaan. Ia juga boleh menjadi sebab kepada pembatalan hak hadhanah jika gagal dipenuhi keperluan tersebut oleh mana-mana pihak sama ada ibu atau bapa mahupun penjaga mereka.

Imam Al-Shawkani (1229-1250h) berpendapat pilihan anak untuk bersama siapa yang dia pilih bukanlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan status agama anak kerana akhirnya yang utama ialah soal kebajikan mereka yang menjadi pertimbangan utama dalam penjagaan anak-anak walaupun salah seorang daripada ibu atau bapa yang menjaganya adalah bukan Islam.

Pandangan ulama kontemporari dan perundangan yang diamalkan di negara-negara Islam lain juga melihat kemaslahatan anak sebagai keutamaan dan tidak mensyaratkan keislaman salah seoarang ibu bapa kanak-kanak sebagai hak automatik penjagaan.

Begitu pandangan Dr Arif al-Syeikh dari Emiriah Arab Bersatu dan Syekh Dr Abdul Aziz Al Fawzan dari Arab Saudi. Emiriah Arab Bersatu memberi kuasa kepada hakim melihat kemaslahatan kanak-kanak tersebut kepada ibu yang bukan Islam. Begitu juga di Qatar dan Kuwait tidak mensyaratkan Islam untuk ibu yang menjaganya (WasatOnline, edisi no 6/Disember 2015, Memberi Hak penjagaan Anak (Hadhanah) Kepada Non Muslim: Adakah Sikap Yang Wasatiy, Ustaz Mustazah Bahari).

Dari pandangan fikah di atas, apakah boleh dikatakan pandangan ulama salaf dan khalaf yang berbeza-beza tentang status agama anak seperti pandangan Imam Malik dan keperluan menjaga kebajikan anak-anak kepada ibu yang bukan Islam membawa maksud para ulama besar yang diiktiraf keilmuannya tidak membela akidah kanak-kanak bawah umur tersebut?

Emosi jejaskan keharmonian

Kenapakah pandangan-pandangan yang berbeza ini - termasuklah ketetapan undang-undang di sebahagian negara umat Islam - tidak dibantah demi menjaga akidah anak-anak tersebut?

Jawapannya ialah, umat Islam mengetahui bahawa ia adalah soal ijtihad fikah dan maslahah perundangan yang asasnya diambil semangat dan sumbernya dari syariat Islam. Ia memberi pengajaran penting bahawa kita tidak berhak menuduh orang lain tidak membela Islam hanya kerana berbeza pendapat dalam hal ini.

Ambilah nasihat Imam Abu Hanifah yang berkata dalam soal ijtihad fikah: “Inilah pandangan kami, kami tidak memaksa sesiapa atas pandangan kami, dan kami tidak pula berkata kamu wajib mematuhi pandangan kami dengan cara paksa. Barang siapa yang ada pandangannya tersendiri tentang sesuatu yang lebih baik maka berikanlah pandangannya itu.” (al Intiqa’, Abdul Fatah Abu Ghadah, ms 258 dari https://www.fikhguide.com Adab al Khilaf Fi al Masail al Fiqhiyah).

Ada pun jawapan kepada konflik perundangan di bawah isu pemelukan Islam sebelah pihak bagi anak-anak yang salah seorang ibu bapanya memeluk Islam (unilateral conversion), ia harus dilihat dalam perspektif maslahah (kepentingan awam) yang lebih besar untuk memelihara hubungan antara kaum dan agama serta keharmonian undang-undang.

Tanpa meletakkan keperluan lebih besar untuk memelihara kestabilan institusi masyarakat majmuk, sikap beremosi dan simplistik boleh menjejaskan keharmonian sesebuah masyarakat. Justeru pendekatan secara objektif dan mendaulatkan perundangan negara adalah satu kemestian dari sudut syarak.

Mencapai maslahah adalah sumber syariat yang penting dalam urusan mentadbir negara menurut kerangka siyasah syariah.

Konflik Undang-undang Persekutuan melalui Perkara 12(4) dengan kuasa negeri dalam bab keislaman seseorang kanak-kanak jelas bercanggah antara satu sama lain dari sudut had umur dan keizinan.

Dari sudut umur, ketetapan enakmen pentadbiran Islam sebahagian negeri meletakkan umur mumayiz (9-10 tahun) sebagai had umur kebebasan memilih agama, manakala dari sudut izin, memadai satu pihak sama ada ibu atau bapanya untuk bawah umur memeluk Islam.

Di peringkat perundangan persekutuan had umur 18 ke atas dan keperluan izin daripada kedua ibu bapa di bawah umur 18 ditetapkan. Bukti jalan penyelesaian ke arah konflik penukaran agama sebelah pihak (unilateral conversion) diusahakan oleh kerajaan Terengganu ketika PAS memerintah apabila adanya pindaan 2001 dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam Terengganu seksyen 101 yang menyatakan: “Jika dia belum mencapai umur 18 tahun, ibu dan bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya”.

Pada 2003 pindaan sama dibuat di Selangor mengikut seksyen 117 dengan peruntukan yang sama.

Ini bukti pihak pentadbiran agama Islam melihat kemaslahatan keharmonian perundangan mampu menamatkan konflik yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.

Apakah ini bermakna kerajaan Selangor dan Terengganu tidak membela akidah umat Islam dalam kes yang diperdebatkan ini ketika ia diluluskan dalam sidang DUN yang majoriti ahlinya adalah orang Islam?

Wan Ji Wan Husin dalam tulisannya di Malaysiakini (2019) berpendapat pindaan di kedua-dua negeri itu menunjukkan ijtihad baru dalam merungkaikan permasalahan ini dan dilembagakan dalam enakmen pentadbiran Islam.

Harus selamatkan keadaan

Dalam isu tindakan politik yang wajar diambil, saya menyarankan supaya semua pihak berhenti untuk menjadi juara dalam isu ini sebaliknya menumpukan usaha ke arah menstabilkan keadaan melalui pendekatan keharmonian perundangan antara persekutuan dan negeri.

Menteri Agama sepatutnya memainkan peranan besar ini melalui Jawatankuasa Penyelarasan Perundangan Syarak dan Sivil untuk dimuzakarahkan segera serta menilai semula keputusan yang dibuat.

Mereka juga perlu mengambil inisiatif penyelarasan dengan mengambil contoh Terengganu dan Selangor yang membuat pindaan untuk mengelak konflik persekutuan - negeri pada masa hadapan.

Saya telah melakukan inisiatif penyelarasan antara negeri semasa menjawat amanah sebagai menteri agama kerana memahami kesan kepada konflik perundangan boleh membawa kepada konflik sosial/agama.

Jawatankuasa Syarak dan Sivil di bawah menteri agama harus muncul menyelamatkan keadaan dalam konflik ini.

Seterusnya dalam konflik Ramasamy dan Maza, menteri agama harus mengambil inisiatif politik dengan menjadi orang tengah agar terelak merebaknya suasana kebencian antara kaum dan agama.

Saya pernah menjalankan tugas sebagai orang tengah untuk mendamaikan konflik di antara mereka pada 2018, dan cuba menunjukkan sikap kerahmatan Islam bagi menyelesaikan konflik di antara kaum dan agama di negara ini.

Menteri agama dan timbalannya harus mengelak daripada membuat kenyataan umum yang melihatkan ketidakfahaman mereka kepada kerangka perundangan negara dan kuasa negeri dan persekutuan.

Mainkan peranan sebagai cabang eksekutif negara yang mengendalikan soal dasar dan perundangan negara, bukannya menunggang atas sentimen dan emosi.

Parti-parti politik pula tidak perlu berlumba-lumba untuk membuktikan partinya lebih layak membela kes ini daripada yang lain. Mereka harus mencari jalan penyelesaian dalam konflik ini dan menenangkan rakyat.

Akhirnya saya ingin memetik dari artikel Journal Of Syariah Law Research (2016) Vol 1 ms 89-104 oleh Mohd Taufiq Mohd Tasrip yang memetik Zaini Nasohah sebagai berkata: “Isu konflik ini dapat diselesaikan melalui saluran perundangan sekiranya perundangan jelas, perlaksanannya jelas dan peruntukan perundangan dipatuhi tanpa emosi keagamaan, termasuklah kepada keputusan mahkamah tinggi”.

Tiada pilihan dalam melihat konflik kes Loh Siew Hong dan unilateral conversion anak-anaknya melainkan melalui penyelarasan undang-undang enakmen Islam negeri dan persekutuan bagi mengelak konflik yang sama berulang.

Tiada jaminan dalam keadaan pascapandemik yang sukar ini bahawa keadaan tidak akan menjadi lebih buruk. Seluruh kita harus meyakini bahawa politik damai adalah jalan terbaik. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat ke-13 bermaksud: “Wahai Manusia, kami ciptakan kamu daripada lelaki dan wanita dan kami jadikan kamu berbagai bangsa dan kelompok agar dengan itu kamu dapat kenal mengenali antara satu sama lain dan sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi-Ku ialah mereka yang paling bertaqwa antara kamu.”


MUJAHID YUSOF ialah Naib Presiden Amanah dan ahli parlimen Parit Buntar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.