Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR bermesyuarat bincangkan langkah Muda nak 'berseteru' di Larkin

PRN JOHOR | Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah menyatakan rasa kecewa parti itu dengan keputusan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding di kerusi DUN Larkin.

Justeru Puah menggesa pemimpin Muda mempertimbangkan pendirian parti itu semula.

Tegasnya, PKR akan mengadakan mesyuarat esok untuk membincangkan kemungkinan bertindak balas jika Muda tidak mengubah haluan mereka seperti yang diumum hari ini.

Kemelut di antara kedua-dua parti berlaku lagi hari ini selepas Muda mengumumkan mereka mencalonkan Ketua Penerangan Muda Johor Rasid Abu Bakar sebagai calon di Larkin.

PKR sebelum ini sudah pun mengumumkan Zamil Najwah Arbain sebagai calon mereka di kerusi sama.

"Saya agak terkejut. Saya fikir ini akan menguntungkan BN dan menjejaskan usaha kita untuk mengambil alih negeri ini.

"Saya harap Muda boleh mempertimbangkan keputusan mereka semula," kata Puah kepada Malaysiakini hari ini.

Ditanya sama ada tindakan balas yang mungkin diambil PKR, dia menjawab: "Kami akan mengadakan mesyuarat mengenai perkara ini".

Pemimpin akar umbi PKR sebelum ini sudah melobi agar pemimpin parti menetapkan agar parti itu bertanding juga di semua kerusi yang ada calon Muda diturunkan.

Sebelum ini PKR sudah menunjukkan rasa marah dan kecewa apabila kerusi DUN Puteri Wangsa - yang diintai mereka sejak sekian lama - diserahkan kepada Muda.

Puah pada masa sama menegaskan, PKR tidak akan berganjak daripada keputusan mereka di Larkin.

"Sudah tentu kami akan bertanding di Larkin," katanya.

Sebagai rekod PH melalui Amanah dan DAP memberikan laluan di enam kerusi kepada Muda iaitu DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Muda juga mengadakan rundingan dengan PKR untuk tiga lagi kerusi. Bagaimanapun, rundingan gagal mencapai titik pertemuan damai selepas kedua-dua pihak tidak dapat mencapai kata sepakat.

Muda dikatakan mahu bertanding di DUN Larkin dan Gambir manakala PKR hanya bersedia menyediakan kubu kuat Umno di Sri Medan, Semarang dan Benut.

Semua kerusi yang ditandingi Muda sebelum ini ditandingi Bersatu dan diperuntukkan semula kepada PH selepas Bersatu meninggalkan gabungan itu.

Secara keseluruhan, Muda merancang untuk bertanding tujuh kerusi dan Larkin satu-satunya yang mempunyai pertindihan dengan PKR.

Proses penamaan calon secara rasmi akan berlangsung pada 26 Feb, manakala proses pengundian akan berlangsung pada 12 Mac.