Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Tiba masa ambil sikap terhadap pencerobohan Rusia'

Duta Besar Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo berkata masyarakat antarabangsa perlu mengambil pendirian terhadap tindakan Rusia melanggar norma antarabangsa berikutan tindakan yang diambil terhadap negaranya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Nechytaylo (di atas) berkata Ukraine mengutuk keputusan Rusia mengiktiraf "kemerdekaan" di wilayah yang diduduki sementara di Ukraine, yang dipanggil "Republik Rakyat Luhansk" dan "Republik Rakyat Donetsk" .

“Dunia dan Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres sangat jelas: Rusia secara terang-terangan melanggar norma dan prinsip asas undang-undang antarabangsa, Piagam PBB, melanggar kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine.

“Tentera Rusia di Ukraine bukanlah pasukan pengaman, mereka adalah penceroboh,” katanya.

Sehubungan itu Nechytaylo berkata masyarakat antarabangsa mesti mengambil pendirian.

“Ia bukan lagi mengenai Ukraine atau Rusia.

“Hanya ada dua pihak sekarang: undang-undang antarabangsa dan pelanggaran undang-undang,” katanya.

Rusia mula memindahkan kakitangan diplomatik dari Ukraine.

Kedutaan Rusia di Kyiv, serta konsulat jeneral di Odessa dilihat pada Rabu menurunkan bendera Rusia.

Kementerian Luar Rusia mengumumkan pemindahan kakitangan diplomatik dari Ukraine atas apa yang disebut sebagai sebab keselamatan pada Selasa, sehari selepas Presiden Vladimir Putin mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah yang memisahkan diri dengan Ukraine di timur negara ini.

Putin juga mengarahkan tentera Rusia "menjaga keamanan" di wilayah itu sambil mengerahkan tentera berkawal di sempadan Ukraine.

Amerika Syarikat dan sekutunya megenakan lebih banyak sekatan terhadap Rusia pada Rabu berikutan pengiktirafannya terhadap dua kawasan berkenaan, sambil menjelaskan mereka akan mengambil langkah lebih tegas sekiranya berlaku pencerobohan berskala penuh oleh Moscow.

Kementerian Luar Ukraine meminta Presiden Volodymyr Zelenskiy memutuskan hubungan diplomatik dengan Rusia sebagai tindak balas terhadap tindakannya.

Zelenskiy berkata dia sedang mempertimbangkan permintaan itu.