Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Warisan, PSB dalam rundingan bentuk Perikatan Borneo

Parti Sarawak Bersatu (PSB) sedang bermesyuarat dengan Warisan untuk membentuk Perikatan Borneo (Bornean Alliance) bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) atang.

Ahli Majlis Presiden PSB See Chee How yang mendedahkan perkara itu berkata, sekurang-kurangnya dua mesyuarat awal tidak rasmi telah diadakan antara rakannya Baru Bian dengan Presiden Warisan Shafie Apdal.

"Kita sangat berharap kita dapat melakukannya. Ia sama ada anda pasukan ketiga atau sama ada pada penghujung hari bermain sebagai dalang politik (kingmaker)," katanya yang dipetik oleh portal Utusan Borneo.

See berkata dengan PRU15 mungkin diadakan menjelang penghujung tahun ini, adalah penting untuk mengadakan pakatan sedemikian supaya rakyat Sarawak dan Sabah bersama-sama memastikan hak mereka dipandang serius.

Menurut See, terdapat kemungkinan Warisan mengetuai perikatan tersebut di Sabah dan PSB memimpinnya di Sarawak.

"Kemudian kita membawa parti tempatan lain ke dalam perikatan supaya kita boleh memenangi sebanyak mungkin kerusi di Sarawak dan Sabah serta juga beberapa kerusi yang dimenangi Warisan di Sabah, seterusnya boleh menjadi kuasa ketiga yang sangat berdaya maju," tambahnya.

Sambil menyatakan Warisan semakin mendapat sambutan menggalakkan di semenanjung, katanya Perikatan Borneo juga boleh menjadi alternatif kepada pengundi di sana.

"Apa yang saya perhatikan sekarang, di semenanjung, tidak ada satu gabungan yang akan mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Jadi, mereka akan memerlukan sokongan daripada Sarawak dan Sabah apatah lagi apabila melihat kepada pelbagai gabungan yang kita ada sekarang.

"Dan untuk PSB, pemimpin kita, kita melihat bahawa sebenarnya ini adalah masa terbaik jika kita boleh mendesak supaya gabungan Sarawak menjadi kuasa tertinggi supaya individu dari Malaysia Timur iaitu Sabah atau Sarawak dapat menjadi Perdana Menteri," katanya.

See juga dipetik oleh poratl itu sebagai berkata, rakyat di semenanjung sudah muak dengan politik yang ada dan mencari alternatif lain.

"Kita sebenarnya adalah contoh baik yang boleh diikut oleh rakyat semenanjung Malaysia. Keadaan kita lebih aman dan harmoni dengan pelbagai kaum dengan hanya sedikit masalah perkauman yang menjejaskan kita," katanya.