Pertemuan dengan Goldman untuk jamin kerja 3 anak Najib: Laporan
Bekas pengerusi Goldman Sachs South Asia, Tim Leissner semasa memberi keterangan di mahkamah memberitahu, satu pertemuan di antara Najib Razak dan bekas CEO Goldman Sachs, Lloyd Blankfein, berlangsung pada 2009 yang membawa satu agenda, menurut laporan.
Sebagai balasan kepada perniagaan yang lumayan, katanya, peluang kerja diberikan untuk tiga anak bekas perdana menteri itu di bank pelaburan multinasional AS berkenaan.
Leissner yang merupakan saksi penting dalam perbicaraan jenayah melibatkan bekas eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng, memberitahu perkara itu kepada juri di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York.
Ng dituduh mengaut AS$35 juta (RM146 juta) sebagai “sogokan secara rahsia” dalam apa yang dikatakan kecurian berbilion dolar wang pelaburan 1MDB milik Malaysia.
Ng merupakan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs di Malaysia dan merupakan satu-satunya bekas pegawai bank terbabit yang dituduh di mahkamah dalam skandal 1MDB.
Dalam keterangannya, Leissner menerangkan bagaimana kakitangan bawahannya itu dan sekumpulan rakan kongsi Goldman Sachs menyelewengkan wang 1MDB.
Leissner dipetik Bloomberg sebagai berkata bahawa Ng memberitahunya yang Najib akan ke New York bagi menziarahi anak-anaknya di AS sempena cuti kesyukuran (thanksgiving).
Dia turut memberitahu bahawa ahli perniagaan warga Malaysia Jho Low berasakan bahawa adalah baik jika Blankfein dan Najib bertemu sebagai cara untuk memperkenalkan perjanjian bond bagi 1MDB.
Tambah Leissner, selain bertemu Low, Ng juga memberitahu yang dia bertemu dengan anak-anak Najib.
“Baru jumpa tiga orang anak PM (Najib) di pangsapurinya, sedang bersama Jho di pangsapurinya. Akan jumpa dia lagi esok dan akan usahakan agar tiga anaknya dapat sertai Goldman Sachs,” kata Leissner membacakan emel di hadapan juri.
“Perdana menteri Malaysia merupakan potensi perniagaan yang besar untuk kami, jadi saya fikir, mengambil tiga anak perdana menteri bekerja dengan kami berpotensi untuk (kami) dilihat, bukan sahaja kepada perdana menteri,” katanya.
Leissner berkata dia membantu anak perempuan Najib mendapatkan kerja di syarikat pelaburan AS TPG.
Nama kod - termasuk “kawan” dan “PMO” (pejabat perdana menteri) - direka bagi mengaburi peranan Low dalam usaha mendapatkan pembiayaan untuk 1MDB, kata Leissner.
Katanya, Ng bersama pegawai Goldman Sachs yang lain, menggunakan kod itu bagi melindungi sejauh mana penglibatan Low dalam projek mendapatkan biaya daripada rakan kongsi lain di bank.
“Jika kami membangkitkan namanya dalam kapasiti sebenarnya, kami tak akan diluluskan oleh pegawai pemantau Goldman Sachs. Dia merupakan amaran (red flag) yang pasti akan menghentikan transaksi berkenaan,” katanya.
Leissner, pada 2018 mengaku bersalah atas tuduhan sama dan bersetuju memberikan kerjasama dalam penyiasatan kerajaan itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai