Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mogok pengeluar tempe, tauhu di Pulau Jawa masuk hari kedua

GLOBAL | Mogok pengusaha tauhu dan tempe di Pulau Jawa, yang membantah kenaikan harga kacang soya memasuki hari kedua pada Selasa.

Pengerusi Persatuan Koperasi Pengeluar Tauhu dan Tempe Indonesia, Aip Syarifuddin berkata harga itu kini didagangkan pada 11,000 rupiah Indonesia sekilogram berbanding 9,000 rupiah Indonesia pada Disember tahun lalu.

Aip yang dipetik media dalam talian sebagai berkata harga itu naik hampir setiap hari.

"Ahli kami mahu kerajaan campur tangan dan menstabilkan harganya untuk tiga bulan atau sekurang-kurangnya sebulan," katanya.

Mereka telah berusaha meneruskan pengeluaran, tetapi tetap gagal memperoleh keuntungan meskipun saiz tempe dikurangkan kepada antara 20 sentimeter dan 40 sentimeter untuk mengimbangi kenaikan harga kacang soya.

Tauhu dan tempe adalah sumber protein yang berpatutan dan makanan ruji untuk populasi besar di Pulau Jawa.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Indonesia berkata harga makanan berasaskan soya akan meningkat dalam beberapa bulan akan datang, sejajar dengan harga global berikutan pengeluaran rendah Brazil sebanyak 125 juta tan metrik pada Januari, daripada anggaran 140 juta tan metrik.

- Bernama