Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sohor kini di Twitter, siapa Rasyad dan Peter?

Pasti ada yang pelik apabila nama-nama tak dikenali seperti Peter dan Rasyad tiba-tiba sohor kini di Twitter untuk masa yang agak lama sejak tengah hari tadi.

Siapa Rasyad? Siapa pula Peter?

Rupa-rupanya mereka adalah watak dalam ujian mendengar bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diadakan tengah hari tadi.

Calon SPM 2021 harus mendengar siaran audio yang terbahagi kepada empat bahagian.

Temu bual Rasyad adalah merupakan audio untuk bahagian keempat, manakala Peter merupakan audio bahagian kedua.

Menurut perkongsian di Twitter, ramai calon meluahkan rasa jengkel kerana Rasyad dikatakan terlalu banyak ketawa sehingga mengganggu konsenstrasi calon yang menjalani ujian.

Peter pula dicemuh kerana dikatakan bercakap terlalu laju hingga butiran percakapannya sukar ditangkap pelajar.

Selain Rasyad dan Peter, ada lagi nama-nama rambang yang sohor kini di Twitter. Kesemuanya adalah watak daripada ujian mendengar.

Jika Rasyad dan Peter ialah watak ujian mendengar bahasa Inggeris, Iman dan Akmal pula ialah dua watak dalam ujian mendengar bahasa Melayu. SPM2021 turut sohor di platform itu.

Di Twitter, pelajar saling berbincang dan berkongsi perasaan mengenai kesulitan dihadapi mereka itu, malah banyak yang membuat ulasan lucu ke atas watak-watak dalam ujian berkenaan.

“Bila kau sedang bergelut hendak dengar, tetapi Rasyad ketawa kuat sangat,” ulas seorang pengguna.

“Ujian mendengar? Bagi saya, lebih macam pertandingan rap. Satu lagi Rasyad, tolonglah berhenti ketawa,” tulis seorang lagi.

“Rasyad dan Akmal, kamu baik tidur dengan mata terbuka malam ini, sebab saya akan buru kamu,” kata seorang yang lain.

“Kamu rasa dapat jejaskan aku? Akmal, Rasyad, Iman dan Peter sudah hancurkan masa depan aku,” tulis seorang lagi disertakan dengan emoji menangis.

“Rasyad tak dapat memilih sama ada dia mahu bercakap atau ketawa, jadi dia buat kedua-duanya dan menjahamkan kita semua,” ulas yang lain.

Rata-rata ciapan itu disertai dengan tanda pagar SPM2021.

Menurut seorang calon SPM 2021 dari Sepang yang hanya mahu dikenali sebagai Seri, audio Peter merupakan bahagian kedua ujian mendengar bahasa Inggeris. Katanya, Peter adalah watak seorang jurugambar menceritakan tentang hobinya dan bagaimana dia boleh menceburkan diri dalam bidang itu.

Manakala Rasyad seorang pendaki gunung dan ditemu bual tentang pendakian.

Tidak menganggap ciapan di Twitter itu sebagai sesuatu yang terlalu serius, Seri bagaimanapun mengaku agak jengkel dengan Peter yang bercakap terlalu laju dan Rasyad yang terlalu banyak ketawa.

Lebih-lebih lagi, kedua-dua watak itu bercakap dalam loghat Inggeris, menyebabkan butir percakapanya agak sukar ditangkap, katanya.

‘Ada sekolah hanya guna speaker pengumuman’

Namun, kata Seri lagi, dia masih dapat menjawab soalan dikemukakan dalam ujian berkenaan.

Seri bersyukur, setidak-tidaknya sekolahnya menyediakan kemudahan yang dikira agak baik yang memudahkan calon menjalani ujian mendengar.

“Kawan saya duduk di Kedah, dia kata (ujian tersebut) okey, cuma semasa ujian, ada helikopter lalu.

“Sekolah saya agak baik (kemudahannya), setiap kelas ada satu speaker. Ada sekolah lain yang hanya menggunakan speaker pengumuman sahaja. Itu lagi susah,” katanya.

Setakat berita ini ditulis, nama Peter, Rasyad, Iman dan Akmal, serta tanda pagar SPM2021 masih tersenarai dalam ciapan sohor kini di platform berkenaan.

Di Twitter, nama Peter diciap kira-kira 115,000 kali, manakala Rasyad pula kira-kira 26,500 kali. Tanda pagar SPM2021 turut digunakan dalam 54,000 ciapan.