Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penukaran agama anak: Timbalan menteri gesa hormat undang-undang negeri

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Ahmad Marzuk Shaary menggesa semua pihak agar menghormati undang-undang mengikut negeri dalam isu penukaran agama termasuk kanak-kanak.

Menurutnya, wujud perbezaan dalam peruntukan undang-undang di setiap negeri berhubung dengan pemelukan agama anak.

"Ada negeri yang mensyaratkan persetujuan salah seorang ibu bapa, dan ada negeri yang mensyaratkan persetujuan kedua-duanya.

"Dalam hal ini, kita menghormati syarat-syarat yang diputuskan oleh negeri-negeri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa negeri, dan syarat-syarat yang diputuskan juga adalah berasaskan kepada pandangan ulama dan fatwa yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dia mengulas kontroversi membabitkan tiga kanak-kanak yang berpisah dengan ibunya Loh Siew Hong yang bercerai dengan suaminya Nagahswaran Muniandy.

Bapa kanak-kanak tersebut dikatakan menukar agama mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran Loh pada tiga tahun lalu.

Sebagai rekod pada 29 Sept 2020, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman yang dikemukakan oleh seorang ibu untuk mengisytiharkan penukaran agama Islam ketiga-tiga anaknya yang ketika itu berusia 13, 11 dan lapan tahun, tidak sah dan pemelukan agama itu tidak boleh didaftarkan oleh Ketua Pendaftar Muallaf Selangor.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 dalam kes penukaran agama anak-anak guru tadika, M Indira Gandhi.

Dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Persekutuan memutuskan persetujuan ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama anak-anak kepada Islam.

Berkaitan penukaran agama tiga anak Loh, peguamnya sebelum ini menghantar surat tuntutan kepada pendaftar mualaf di tiga negeri untuk mencabar penukaran agama anak-anaknya, berikutan tidak jelas di mana ia dilakukan.

Namun Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dalam video secara langsung yang dimuatnaik di Facebook pada 16 Februari lalu berkata bapa kepada tiga kanak-kanak tersebut telah datang ke Perlis pada Julai 2020 bagi proses pengislaman mereka.

Merujuk kes itu, Ahmad Marzuk berkata, tindakan pengislaman tiga kanak-kanak oleh bapanya yang telah memeluk Islam adalah selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa di Perlis pada masa tersebut, seperti yang termaktub dalam Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 Negeri Perlis yang membenarkan pengislaman anak-anak dibuat dengan persetujuan salah seorang ibu atau bapa.

Oleh itu, jelas anggota Parlimen Pengkalan Chepa itu lagi, ia tidak sepatutnya menjadi pertikaian apabila pihak yang telah memeluk kepada Islam telah menukar agama anaknya mengikut prosedur dan undang-undang negeri yang telah ditetapkan secara sah.

"Apatah lagi sehingga menuduh pihak berkuasa agama Perlis ‘menculik dan menukar agama’ anak-anak tersebut. Tidak sepatutnya kita meniup api perselisihan sehingga mengancam keharmonian hidup berbilang kaum di negara ini," katanya.

Ahmad Marzuk juga menggesa semua pihak agar tidak mengapi-apikan sentimen perkauman serta menghormati undang-undang termasuk di peringkat negeri.