Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tahniah pengganti saya Zawawi Salleh, kata Khairuddin 

Ketegangan seputar pengguguran Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) PAS dilihat semakin kendur.

Khairuddin sebentar tadi mengucapkan tahniah kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II  Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menurutkan akan mengisi kekosongan ditinggalkannya.

 “Sekalung tahniah diucapkan kepada YB Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, timbalan menteri pertanian dan industri makanan II di atas pelantikan sebagai setiusaha Majlis Syura Ulama PAS yang baharu,” kata Khairuddin ringkas.


Bagaimanapun, setakat ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi berkaitan pelantikan Zawawi.

Reaksi Khairuddin itu berbeza sama sekali dengan nadanya selepas Presiden PAS Hadi Awang mendedahkan jawatankuasa pusat parti membatalkan pencalonnya sebagai anggota Majlis Syura.

Pembatalan itu sekali gus menyebabkan kelayakannya sebagai setiausaha MSU turut hilang.

Khairuddin sebelum ini tidak mengulas secara khusus.

Dia hanya berkongsi fasal dalam perlembaan PAS berkaitan tatacara perlantikan dan pemecatan setiausaha majlis Syura yang membayangkan dia tidak mengiktiraf tindakan itu.

Langkah itu juga dilihat susulan kecenderungan Khairuddin untuk kerjasama dengan Umno, ketika PAS dilihat lebih cenderung kepada Bersatu.

Pagi tadi, Kharuddin mengumumkan dia ‘meletakkan jawatan’ sebagai setiausaha MSU setelah secara tidak langsung memberitahu masih menyandang jawatan itu sehingga malam tadi.

“Saya dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS yang diadakan secara hibrid pada malam semalam, 20 Februari 2022, jam 9 malam sebagai ahli dan setiausaha MSU,” katanya.