Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MTUC: Pekerja B40 berharap pada k'jaan laksana gaji minimum

Pekerja dalam kumpukan B40 mengharapkan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan gaji minimum RM1,500 tahun ini, di tengah penolakan sesetengah pihak terhadap perkara itu.

Membangkitkan perkara itu, Setiausaha Agung Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor berkata ia khususnya pekerja pembersihan di bawah kontrak kerajaan yang terdiri daripada pekerja tempatan. 

"Pekerja-pekerja pembersihan terutamanya di bawah kontrak kerajaan yang keseluruhannya adalah pekerja tempatan amat berharap supaya gaji minimum dilaksanakan kerana dengan kadar RM1,500  tersebut, maka gaji mereka akan berubah setelah bekerja lebih 15 tahun.

“Gaji minimum baru sepatutnya menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan dan tidak mengambil masa yang lama dalam membuat kajian atau perbincangan  dalam penetapan kadar baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Kamarul, kajian atas perkara itu sepatutnya sudah selesai dan kerajaan seharusnya sudah bersedia untuk membuat keputusan mengenainya. 

Dia menggesa kerajaan untuk menerima pelabur yang “tidak kedekut” dan berupaya untuk memberikan gaji minimum yang wajar kepada pekerja.

Dalam pada itu, dia juga memuji sebahagian syarikat yang mengambil usaha sendiri dalam memberikan gaji minimum baru sebanyak RM1,500, meskipun sebelum penguatkuasaan kerajaan yang dijangkakan akhir tahun ini. 

Antaranya, kata Kamarul, Aeon Co (M) Bhd yang mengumumkan pada 15 Feb lalu bahawa mereka telah menaikkan gaji minimum untuk pekerja Gred G dari RM1,200 kepada RM1,500.

Katanya, langkah itu merupakan bukti keinginan sesebuah syarikat dalam menjaga kebajikan pekerjanya. 

Dia turut mengkritik kerajaan kerana gagal menganjurkan perbincangan di bawah Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) sejak tahun 2020. 

Sedangkan, katanya, perbincangan dalam NLAC adalah penting dalam menyelesaikan isu buruh termasuklah gaji minimum, buruh paksa dan pindaan undang-undang buruh.

“Jutaan pekerja akan berterima kasih pada kerajaan dan hanya segelintir sahaja yang tidak bersetuju dengan gaji minimum RM1,500 dilaksanakan,” katanya lagi.

Terdahulu, beberapa kumpulan majikan, termasuk Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang meluahkan rasa bimbang terhadap kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan menjelang hujung tahun ini, yang disifatkan terlalu mengejut dan tinggi.