Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bangsa Johor takut balik mengundi? Tak semestinya

Pembangkang khuatir kegagalan pengundi luar pulang mengundi akan mengulangi kekalahan teruk mereka di Melaka, November tahun lalu.

Bagi yang enggan pulang, mereka bimbang terhadap penyebaran Covid-19 yang kembali mencatat kes harian tinggi selepas perayaan Tahun Baru Cina dan kemasukan varian cepat berjangkit Omicron.

Antaranya, seorang suri rumah, Yap Chiu Leng, 47, memberitahu Malaysiakini dia benar-benar mahu pulang mengundi tetapi takut.

“Akan tetapi, krisis Covid-19 semakin meruncing berikutan kurangnya disiplin dan peraturan yang longgar berhubung prosedur operasi standard (SOP) sambutan Tahun Baru Cina.

“Malangnya, disebabkan itu, saya tidak akan pulang ke Johor dengan ibu saya untuk mengundi,” kata penduduk Subang Jaya itu kepada Malaysiakini.

Setakat laporan ini ditulis, sebanyak 26,701 kes baru direkodkan - kedua tertinggi sejak Covid-19 memasuki Malaysia.

Turut dilaporkan sebanyak 39 kematian baru meningkat sejak minggu lalu. Jumlah kemasukan ke hospital juga meningkat 117 peratus di angka 7,119 kes.

Nilai kebolehjangkitan (Rt) berada pada tahap 1.32, yang diumumkan tiga hari lalu. Angka lebih daripada 1.00 menunjukkan penularan Covid-19 semakin pantas.

Bagaimanapun, rata-rata anak muda yang merantau di Lembah Klang berkata mereka tetap teruja untuk pulang mengundi.

Lebih-lebih lagi, bagi yang pertama kali mendapat peluang.

“Sebab saya rasa itu tanggungjawab saya sebagai rakyat Johor dan belia untuk pastikan Johor dipimpin oleh orang-orang yang adil dan bijak. 

“Lagi pun, ini kali pertama saya mengundi, sudah pasti saya teruja untuk merasai bagaimana pilihan raya negeri itu sendiri dilakukan,” kata seorang penuntut Noorfazila Ipran, 22, yang tinggal di Bestari Jaya.

Dia berpendapat Covid-19 bukan penghalang kerana standard operasi piawai (SOP) yang ketat.

Sementara itu, seorang lagi pelajar sebuah institud pengajian tinggi di Selangor berkata dia tidak setuju pilihan raya diadakan buat masa ini.

Bagaimanapun, katanya, dia akan tetap pulang mengundi bagi menunaikan tanggungjawab.

“Sudah tentu saya perlu balik menunaikan tanggungjawab saya sebagai pembayar cukai dan rakyat. 

“Saya faham saya berhak menentukan hala tuju negeri saya ini,” kata Tengku Farha Diana Syafie.

Farha Diana Syafie

Katanya, rakyat perlu menunjukkan kepada politikus bahawa rakyat masih peduli dan cintakan tanah air ini.

Dia justeru mencadangkan anak Johor di perantauan merancang cuti lebih awal.

Tanggungjawab Bangsa Johor 

Seorang lagi pelajar Nur Syifa Abdul Nasir, 22, juga berkongsi pandangan dengan Tengku Farha Diana.

“Saya sudah semestinya akan kembali ke tanah Johor untuk balik mengundi. 

“Ini kerana saya ingin jalankan tanggungjawab sebagai anak Bangsa Johor dan juga tanggungjawab sebagai rakyat negeri Johor.

“Saya tidak mahu ada pihak-pihak atau parti-parti yang tak sepatutnya, yang tidak bertanggungjawab, tidak menjalankan tugas mereka dengan telus dan amanah untuk menjaga negeri Johor,” katanya.

Jelasnya, proses pengundian penting untuk generasi akan datang.

Sementara itu, seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Afie pula melihat proses pengundian sebagai serampang dua mata untuk turut sama melawat keluarga di kampung halaman.

“Mestilah balik, lama tak jumpa ibu bapa. Sambil mengundi, sambil jumpa orang tua. 

“Untuk mengundi itu, sudah semestinya,” kata Afie daripada Petaling Jaya.

Katanya, kalau kerajaan yang salah dipilih rakyat sendiri akan merasai akibatnya.

Balik kerana ‘terpaksa’

Sementara itu, seorang pereka hias dalaman yang menetap di Damansara Syaiful Nasarudin berkata dia akan balik mengundi kali ini kerana “terpaksa”.

“Sebab saya tak tahu nak harapkan siapa. Dan sebab bagi saya susah nak bagi kepercayaan (pada sesuatu pihak). 

“Tapi kalau tak undi takut orang yang salah akan pegang kuasa,” katanya.

Dalam pilihan raya Melaka tiga bulan lalu, jumlah keluar mengundi hanya 65.85 peratus. Ia menyaksikan BN menang besar di 21 daripada 28 kerusi dewan undangan negeri yang ditandinginya.

Pilihan raya Johor akan diadakan pada 12 Mac dan penamaan calon pada 26 Februari, bagi mengisi kekosongan 56 kerusi dewan negeri.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad memohon membubarkan parlimen atsa alasan agar pentadbiran mempunyai mandat lebih besar.

Ketika itu, kerajaan Johor memiliki majoriti tipis 28 berbanding 27 kerusi pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (Adun) Kempas, Osman Sapian yang juga bekas menteri besar.

PRN Johor merupakan pilihan raya pertama melibatkan pengundi berusia 18 tahun ke atas, juga pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

Terdapat seramai 2,597,742 pengundi, terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa; 10,955 orang anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.