Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Chin Tong: Muda boleh jadi pemangkin politik berbilang kaum

Keputusan Pakatan Harapan (PH), khususnya Amanah dan DAP, untuk menempatkan calon Muda menimbulkan persoalan di kalangan akar umbi mereka mengenai rasional dan sama ada gabungan itu akan mendapat manfaat daripada perjanjian sedemikian.

Ini selepas Amanah dan DAP menawarkan Muda enam kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang, walaupun dengan beberapa akar umbi tidak berpuas hati. Rundingan Muda dan PKR tidak berhasil.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong (atas) berkata dia tidak menjangkakan Muda akan muncul sebagai kuasa dominan dalam PRN tetapi dia percaya Muda masih mempunyai peranan yang perlu dimainkan.

"Saya akan katakan bahawa bekerjasama dengan Muda adalah penting. Tetapi pada masa yang sama, adalah penting untuk menyedari bahawa Muda bukanlah penyelesaian kepada setiap masalah.

"Peranan Muda yang saya akan katakan tidak setakat muncul sebagai parti dominan baru. Saya fikir mereka adalah pemangkin untuk membentuk semula adegan itu," katanya kepada Malaysiakini dalam satu wawancara.

Liew berkata Muda mendesak semua pihak untuk mengiktiraf kepentingan pengundi muda ketika umur mengundi telah dikurangkan daripada 21 kepada 18 dan akan menyaksikan pelaksanaan pertamanya dalam PRN Johor.

Tetapi sama pentingnya, kata Liew, ialah pendekatan Muda yang berbilang kaum, agama, dan kesamarataan jantina.

“Kerana akhirnya, jika ditunjukkan kepada semua orang bahawa pendekatan berbilang kaum adalah pendekatan yang betul, ada ramai orang Melayu dan rakyat Malaysia yang menerima politik pelbagai kaum, itu juga akan memaksa pihak lain untuk bertindak balas.

"Saya fikir dari satu sisi, ia juga memaksa DAP untuk bertindak balas. Bukan sahaja DAP, ia memaksa semua orang untuk mengiktiraf bahawa ada ramai golongan middle-ground Melayu," katanya.

Pada masa ini, Liew berkata terdapat kecenderungan parti politik semasa untuk kembali kepada politik perkauman.

“Saya fikir masalah politik Malaysia adalah dengan mudah orang akan kembali mengatakan politik Melayu atau ada orang akan mengatakan politik Cina sedangkan gagal untuk mengiktiraf ada golongan middle-ground Melayu yang cukup besar yang tidak sehaluan dengan Umno, tidak sehaluan dengan PAS, dan mereka adalah pengundi atas pagar," katanya.

Bagaimanapun, Liew berkata sama ada Muda dan oendekatannya dapat bertahan atau jika ia akan menjadi "sama seperti parti politik lain" bergantung kepada sama ada parti itu boleh membuktikan dirinya dalam PRN.

"Pengundi bandar secara umumnya mempunyai kecenderungan tertentu tetapi medan pertempuran sebenar adalah di kerusi separa bandar. Jika Muda tidak boleh memenangi kerusi separa bandar, maka ia akan menjadi satu lagi parti bandar.

"Jika mereka hanya parti bandar, maka mereka mungkin cuma jadi satu lagi parti politik lain. Tetapi jika mereka boleh memenangi kerusi dengan meyakinkan di kawasan separa bandar, maka mereka akan bertahan.

"Kerusi itu mestilah seperti Muar, dan kawasan yang serupa dengan Muar," katanya sambil menambah parti anak muda itu menghadapi cabaran yang serius.

Perwakilan wanita

Liew berkata pendekatan kesaksamaan jantina, khususnya dalam kalangan orang Melayu, juga menarik kerana dinamik kuasa yang tidak seimbang.

"Terdapat begitu ramai wanita Melayu yang berjaya dalam sektor swasta, dalam perkhidmatan awam, di mana-mana. Universiti juga mempunyai lebih ramai graduan wanita," katanya.

Bagaimanapun, Liew berkata perwakilan wanita tidak dicerminkan dalam sistem politik.

Liew menyifatkan Muda sebagai "sekutu dan pesaing yang mesra".

“Pesaing mesra kerana akhirnya DAP juga berkempen atas platform yang hampir sama.

"DAP sentiasa memberi ruang kepada orang muda, DAP bercita-cita menjadi parti yang seimbang jantina, DAP bercita-cita menjadi parti Malaysia. Jadi kami adalah sekutu dan pesaing yang mesra.

"Dan saya fikir adalah baik untuk mengadakan persaingan ini supaya kita menggerakkan semua orang kepada pandangan yang lebih Malaysia, menggerakkan semua orang untuk bertindak balas kepada pengundi muda, pengundi wanita, untuk menggerakkan negara kepada perdebatan politik yang lebih berorientasikan dasar daripada kaum dan agama," katanya.

Warga Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac. Hari pengundian ditetapkan pada 26 Feb.

PH, blok utama pembangkang, akan menyaksikan komponennya PKR, Amanah dan DAP masing-masing bertanding di 20, 16 dan 14 kerusi.

PH juga telah memberi laluan kepada Muda di enam kerusi. Terdapat sejumlah 56 kerusi dalam DUN Johor.

Muda akan bertanding di Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Kecuali Puteri Wangsa, bakinya adalah semua kerusi majoriti Melayu dengan populasi Melayu antara 50 hingga 73 peratus.