Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN Johor: PKR umum 7 lagi calon, termasuk bekas Adun Amanah

PRN JOHOR | PKR hari ini mengumumkan tujuh lagi calonnya, melengkapkan barisan 20 calon parti itu yang akan bertanding dalam PRN Johor bulan depan.

Mereka termasuklah penyandang DUN Senggarang Khairudin A Rahim. Dia menang di kerusi itu ketika bersama Amanah tetapi menyertai PKR pada tahun lalu.

Kali ini, dia akan bertanding di DUN Rengit yang bersempadan dengan Senggarang. DUN Senggarang kekal ditandingi Amanah.

Berikut senarai tujuh calon yang diumumkan hari ini:

Senarai 13 calon yang diumumkan sebelum ini adalah seperti berikut:

Dalam pengumuman di Pasir Gudang hari ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa semua calon dan jentera parti agar fokus kepada isu berkaitan rakyat dan tidak terganggu dengan soal lain.

“Tak mahu sibuk soal lain. Ada satu dua soal lain itu biar pimpinan runding dan cuba selesaikan. Kita tumpu kerja kita sesungguhnya,” kata Anwar.

Di Johor, kata Anwar, PH sentiasa dapat menyelesaikan pengagihan kerusi dengan cepat.

‘Tak boleh tunggu Muda’

Dalam pada itu, Anwar berkata PKR telah mengadakan rundingan dengan Muda namun mereka tidak dapat menunggu lagi untuk melangkah ke depan.

“Kita tak boleh tunggu lagi, jentera harus siap (buat persediaan). Kita bukan parti kaya, kita parti marhaen oleh itu persiapan (perlu) dari awal,” katanya, sambil menambah PKR tidak boleh mengulangi kesilapan terlibat dalam rundingan berpanjangan ketika PRN Melaka.

PKR tidak akan menyerahkan mana-mana kerusinya kepada Muda.

Parti itu juga tidak merancang untuk bertanding di mana-mana enam kerusi yang ditawarkan Amanah dan DAP kepada Muda, namun ada pemimpin akar umbi yang memberi amaran akan bertindak balas jika Muda cuba meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PKR.

Anwar mengingatkan hadirin bahawa PKR berjaya bertahan kerana parti itu kekal berpegang kepada perjuangannya.

Katanya, pada 1999 PKR hanya diberikan satu kerusi selamat - iaitu Permatang Pauh - untuk ditandingi manakala kerusi yang lain adalah di kawasan sukar, antaranya Kemaman di Terengganu yang merupakan kubu kuat Umno ketika itu.

Namun, katanya, PKR menang di kerusi Parlimen itu.

Justeru, katanya lagi, calon-calon PKR perlu menunjukkan semangat sama dalam PRN kali ini. 

Hari penamaan calon adalah ada 26 Februari manakala hari mengundi pada 12 Mac.