Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jenazah wanita, bayi nahas kemalangan dikebumi satu liang lahad

Jenazah mangsa nahas kemalangan melibatkan motosikal, Nur Hasliza Abdul Yazaib, 25, dan bayinya, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol, di Pasir Mas, Kelantan 10.30 pagi tadi.

Suami Allahyarham Nur Hasliza, Mohd Khairi Hasbullah, 31, berkata isterinya yang mengandung sembilan bulan itu dijangka melahirkan anak keempat mereka pada 24 Feb ini.

"Saya reda dengan pemergian isteri dan anak saya, namun perasaan sedih tidak dapat digambarkan, apatah lagi arwah pergi dengan cara sebegini," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Banggol Stol.

Mohd Khairi berkata tumpuannya ketika ini adalah kepada anak keduanya Nurul Iman Maisara, 6, yang turut terbabit dalam kemalangan tersebut.

"Nurul Iman Maisara ketika ini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, mengesahkan bahawa kemalangan itu telah mengorbankan tiga nyawa termasuk penunggang motosikal Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18.

"Penunggang remaja itu dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar motosikal ditunggang mangsa wanita sarat mengandung bersama seorang anak perempuan," katanya.

Media melaporkan kesan pelanggaran itu mengakibatkan Nor Hasliza maut di tempat kejadian dan bayi dalam kandungannya telah terkeluar daripada rahim.

Bayi lelaki itu meninggal dunia tengah malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.

-Bernama