Di Johor, PH perlu formula baru lepas BN kalah PRU14
PRN JOHOR | Selama beberapa dekad, model kemaraan Pakatan Harapan dan gabungan pembangkang sebelum ini berteraskan naratif keberanian mereka bersuara dalam suasana pemerintahan kerajaan BN yang ‘menindas’ ketika itu.
Pun begitu, PH mencapai misi mustahil menumbangkan kekuasaan BN pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan formula kejayaan mereka juga berakhir di situ.
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mengakui gabungan pembangkang kini sedang mencari formula baru dan pilihan raya negeri (PRN) Johor boleh menjadi petunjuk dalam merangka strategi ke hadapan.
"Naratif jangka masa panjang kami selalu (menggambarkan) kami berjuang untuk rakyat, kami selalu menjadi yang paling berani, meskipun 'kerdil' tetapi pembangkang tetap melawan parti pemerintah yang memiliki segala kekuatan.
"Tetapi parti pemerintah yang berkuasa itu tewas pada 2018. DAP khususnya dan sekutu kami dilihat sebagai wira kerana berani bersuara disebabkan ramai rakyat hidup dalam ketakutan.
"Apabila rakyat hidup dalam ketakutan, kami menjadi wira mereka.
"Tetapi saya rasa model itu berakhir dengan kekalahan Umno pada PRU14. Apabila orang ramai melihat kami sekarang, mereka menuntut pembangkang bertindak seperti kerajaan dan bersedia untuk mentadbir, bersiap menawarkan penyelesaian jangka panjang," katanya.
Liew berkata pilihan raya Johor akan menentukan sama ada pembangkang kekal terperangkap dalam situasi lama atau menetapkan haluan baru.
Begitu juga, katanya ia akan menentukan jika Umno akan dapat memulihkan pemerintahan orde lama mereka.
Atasi simpanan undi tetap Umno
Menurut Liew, PRN Johor merupakan kali pertama buat parti politik menghadapi realiti baru pendaftaran pengundi secara automatik dan umur mengundi yang lebih rendah iaitu 18 tahun, yang akan menambah kira-kira 750,000 pengundi baru kepada 2.59 juta berbanding 2018.
Bekas timbalan menteri itu berkata Umno mempunyai kira-kira 500,000 pengundi "tegar" di Johor dan kesanggupan pengundi baru untuk mengundi dan menentang teras sokongan Umno itu akan menentukan keputusan pilihan raya.
“Kami perlu akui bahawa Umno mempunyai 500,000 penyokong dan mereka tidak akan pergi walaupun sokongannya juga tidak berkembang, namun dokongan ini juga tidak banyak menyusut, jadi mereka mempunyai pangkalan pengundi yang sama.
“Manakala selebihnya, sama ada mereka bermotivasi untuk turun mengundi atau tidak akan memberi kesan besar kepada keputusan pilihan raya.
"Jika akhirnya jumlah keluar mengundi tidak sampai satu juta, maka kita boleh yakin Umno akan menang besar.
“Tetapi jika jumlah keluar mengundi melebihi 1.8 juta atau dua juta, maka peluang Umno untuk menang agak tipis," katanya.
Pada PRU14, kira-kira 1.5 juta pengundi Johor daripada kira-kira 1.8 juta pemilih yang layak membuang undi.
Liew berkata objektif utama adalah untuk menafikan kemenangan Umno. Terdapat 56 kerusi dalam DUN Johor. Dua puluh sembilan kerusi diperlukan untuk majoriti mudah manakala majoriti besar memerlukan 37 kerusi.
Bekas ahli parlimen dan senator itu berkata walaupun Umno mendabik dada parti itu boleh menang antara 37 hingga 42 kerusi pada PRN Johor, namun hanya 23 kerusi yang dianggap kukuh untuk parti itu.
Liew berkata baki 33 kerusi - cukup untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah - adalah medan pertempuran.
"Umno terus memberitahu orang ramai, BN boleh menang majoriti dua pertiga. Jadi, objektif utama pilihan raya ini adalah untuk menafikan sasaran itu. Untuk memastikan Umno hanya menang, katakan 23 kerusi saja.
“Apakah keputusannya? Ia bergantung pada hari pengundian, tetapi perkara utama ialah, jika Umno dinafikan sasarannya dan Umno hanya menang 23 kerusi, kita mungkin masih berpeluang untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Liew berkata melainkan ada cuti atau orang ramai terdorong untuk balik mengundi, jika tidak maka ia akan memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi dan tahap sokongan kepada PH.
Ini juga di tengah-tengah lonjakan kes Covid-19 disebabkan oleh varian Omicron.
Liew menambah rakan kongsi PH juga mempunyai kekuatan yang munasabah di Johor tengah dan utara seperti kerusi DUN dalam Simpang Renggam, Batu Pahat, Sri Gading, Pagoh, dan Muar.
Pun begitu, katanya laluan PH tidak mudah, menunjukkan dia kalah tipis di Ayer Hitam pada pilihan raya umum 2018.
Satu-satunya kawasan yang berada di luar jangkauan PH ialah kubu kuat Umno yang tidak dapat ditembusi di Johor Timur yang meliputi kerusi DUN di Mersing, Kota Tinggi, Pengerang dan Tenggara.
Dilihat kubu kuat Umno dengan majoriti pengundi Melayu sehingga 90 peratus, empat kerusi parlimen Johor Timur - terdiri dari lapan kerusi DUN - kini diwakili oleh tiga menteri dan seorang bekas menteri kerajaan Perikatan Nasional-BN.
Taruhan tinggi untuk semua parti
Liew berkata semua kuasa politik mengakui pilihan raya Johor akan menjadi pertempuran penting.
“Ia penting kepada Bersatu kerana ia ibarat penentuan kelangsungannya, ia penting bagi Najib Razak dan kem Ahmad Zahid Hamidi dalam Umno kerana jika mereka menang besar, mereka akan dapat memaksa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pilihan raya umum sejurus selepas Hari Raya (3 Mei)," dakwanya.
Bagi PH, Liew berkata gabungan itu mesti membuktikan ia boleh kekal relevan dalam medan yang penuh sesak dengan pesaing.
"Anda ada Muda, Pejuang, Warisan dan semua parti lain yang merasakan terdapat kekosongan yang mesti diisi.
“Sama ada PH boleh mengisi kekosongan itu sendiri dengan memberi nafas baru, melalui pemikiran semula strategi, pemikiran semula naratif, meletakkan orang yang betul di tempat yang betul, ini adalah cabaran utama bagi PH.
"Jika Pakatan Harapan tidak boleh memberikan nafas baru, maka kekosongan itu akan diambil oleh parti lain. Terdapat kekosongan politik dari segi kepimpinan, dari segi penerimaan orang ramai, tetapi pada masa yang sama, cabaran ada pada semua orang," katanya.
PKR dijangka bertanding di 20 kerusi manakala Amanah akan bertanding di 16 kerusi dan DAP di 14 kerusi. Rakan strategik mereka Muda dijangka bertanding di enam kerusi.
BN dan PN juga berhasrat bertanding di semua 56 kerusi. Pejuang merancang untuk bertanding di 42 kerusi manakala Warisan mengintai tiga kerusi.
Rakyat Johor akan memilih pada 12 Mac. Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Feb.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai