Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hadi: Muda cuma umpan DAP pancing undi belia Melayu

PRN JOHOR | Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa Muda pimpinan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman merupakan ciptaan DAP yang bertujuan untuk mengumpan belia Melayu.

Ahli parlimen Marang itu menyamakan Muda seperti Amanah, parti serpihan PAS yang didakwa Hadi turut ditubuhkan oleh DAP.

"Amanah itu DAP yang buat, saya tahu dia ambil orang PAS buat Amanah. Sekarang Muda ini pun DAP juga. tak apa lah.

"Untuk umpan pancing anak muda orang Melayu. Ingat jangan makan umpan," kata Hadi ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penyokong pada majlis pelancaran jentera Perikatan Nasional (PN) di Kota Tinggi, Johor malam tadi.

Pakatan Harapan telah mencapai perjanjian untuk bekerjasama dengan parti berasaskan belia itu pada pilihan raya Johor akan datang, dengan Amanah dan DAP menawarkan Muda bertanding di enam kerusi.

Dalam ucapannya, Hadi bercakap mengenai rasuah BN dan kekalahannya oleh PH pada pilihan raya umum 2018.

Bagaimanapun, Hadi berkata PAS tidak mahu bekerjasama dengan parti komponen PH kerana tidak boleh menerima DAP, PKR dan Amanah.

Dia juga mengulangi dakwaan bahawa DAP "anti-Melayu, anti-Islam dan antiraja-raja".

Dia juga menggelar PKR sebagai 'pembohong' dan kemudian memohon maaf kepada Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Azmin Ali dilihat berdiri di belakangnya pada majlis itu.

Azmin yang pernah menjadi timbalan presiden PKR sebelum berpaling tadah kepada Bersatu pada 2020, cuma ketawa dengan 'gurauan' Hadi itu.

Pemimpin tertinggi PN dari seluruh negara telah turun ke Kota Tinggi malam tadi untuk pelancaran rasmi parti itu, termasuk pelancaran lagu gabungan baru mereka.

Gerakan ‘tak ekstrem’

Menurut Hadi, gabungan PN boleh diterima oleh PAS kerana Bersatu tidak lagi bersama PH dan Gerakan pula "tidak ekstrem".

Presiden PAS turut mempertahankan kerajaan PN atas musibah yang melanda negara termasuk wabak Covid-19 dan banjir.

"Pandemik covid landa negrra kita terpaksa hadapi. Wabak kami dipersalahkan. Banjir besar kita dipersalahkan. Banjir hukum tuhan, wabak hukum tuhan uji kebijaksaan kita.

"Alhamdulillah.... kita tunjuk kita berjaya tolong kesusahan rakyat. Tetapi digunakan di media sodial ini seolah wabak ini negara lain tidak ada," katanya.

BN mencetuskan pilihan raya mengejut di Johor dan menjangkakan akan menang kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri sendiri.

Rakyat Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac. Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Feb.