Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Satu gelang pun saya tak ada, satu cincin pun saya tak ada'

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menceritakan bagaimana kesukaran yang dihadapinya untuk membantu rakyat ketika dia menjadi pembangkang.

Menurut Siti Zailah Mohd Yusoff, ketika itu dia berdepan dengan pelbagai kekangan walaupun memperuntukkan 85 peratus daripada gajinya untuk membantu rakyat.

Justeru kata ahli parlimen Rantau Panjang itu, selama berbelas tahun menjadi ahli parlimen - termasuk sebagai senator - tidak ada aset atau perhiasan yang menjadi miliknya.

“Lapan puluh lima peratus daripada gaji saya, saya bahagikan untuk rakyat, beri kepada rakyat. Hanya 15 peratus saya guna untuk diri sendiri.

“Sebab itu saya berbelas tahun jadi wakil rakyat, satu gelang pun saya tak ada, satu cincin pun saya tak ada. Saya korban gaji saya untuk rakyat,” katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Tambah bekas ketua Dewan Muslimat PAS Pusat itu lagi dia juga pernah membuat pinjaman peribadi di bank sebanyak RM100,000 untuk membantu dia meringankan beban rakyat.

Katanya ia berlaku ketika dia menjadi ahli parlimen pembangkang iaitu menjadi ahli Dewan Negara antara 2000 hingga 2006, dan menjadi ahli parlimen dari 2008 sehingga 2019.

“Ketika itu, satu sen pun peruntukan tidak diberikan kepada ahli parlimen, kita hanya dapat elaun gaji kita, itu sahaja.

"Daripada kerajaan persekutuan masa itu, semua ahli parlimen pembangkang, satu ringgit pun tidak dibagi peruntukan,” katanya semasa menceritakan pengalamannya dalam program Diari Inspirasi anjuran Inspirasi Muslim pada Selasa.

Bayar semula 10 tahun

Menurut Siti Zailah lagi antara bantuan yang sering dikemukakan kepadanya daripada rakyat ialah untuk menggantikan atap zink yang bocor, yuran persekolahan dan bantuan kerusi roda.

Sebagai seorang pemimpin, katanya, dia tidak berputus asa dengan tugasnya kerana berpegang teguh bahawa perjuangan yang dibawa itu adalah kerana Allah, bukan manusia.

Mengenai pinjaman peribadi berjumlah RM100,000 yang dibuatnya untuk memenuhi keperluan dan tuntutan rakyat, Siti Zailah berkata, ketika itu menjelang Ramadan dan terlalu banyak bantuan yang dikemukakan.

“Ketika itu, saya berjumpa dengan seorang rakan yang bekerja dengan Bank Islam, saya mohon untuk buat pinjaman peribadi berjumlah RM100,000.

“Dia tanya: Untuk apa Kak Lah hendak buat pinjaman? Hendak beli tanah ke? Saya jawab: Tidak, saya tidak beli harta. Duit ini saya hendak guna untuk bantu rakyat miskin.

“Terkejut pegawai bank itu sebab tak ada orang buat begitu (sebelumnya), tetapi saya kata: ‘Tolonglah bantu saya, saya bayar siki-sikit (ansuran) bulanan,” katanya yang mengambil masa 10 tahun untuk menyelesaikan semula hutang tersebut.