Mahkamah perintah portal padam artikel mengenai PM Ismail Sabri
Ismail Sabri Yaakob hari ini memperolehi perintah mahkamah terhadap sebuah portal berita dalam talian supaya memadam artikel yang didakwa berunsur fitnah terhadap perdana menteri itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan injunksi ex-parte terhadap Agenda Daily untuk memadamkan artikel berjudul “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan” yang dimuat naik pada 30 Jan lalu.
Perintah itu dikeluarkan hari ini sebagai sebahagian daripada saman fitnah Ismail Sabri terhadap portal berita yang dikaitkan dengan artikel itu. Tindakan undang-undang sivil itu difailkan semalam.
Sebelum ini, ketua pegawai eksekutif pengendali berita dalam talian Muhamad Izwan Mohd Zubit (gambar, bawah) pada 5 Feb lalu mempertahankan artikel itu sebagai analisis politik berdasarkan senario semasa.
Writ saman Ismail Sabri itu menyasarkan Izwan sebagai pemilik tunggal Agenda Daily Media Enterprise, yang mengendalikan laman web berita Agenda Daily.
Menurut senarai kausa di portal web badan kehakiman Malaysia, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Evrol Mariette Peters petang tadi membenarkan permohonan injunksi ex-parte yang dipohon oleh peguam Ismail Sabri dari firma guaman Kesavan.
Permohonan ex-parte ini bermaksud ia dikemukakan oleh satu pihak sahaja (plaintif) dalam suatu prosiding guaman untuk mendengar kes tanpa kehadiran pihak portal berkenaan selaku defendan.
Perbicaraan dijadualkan pada 4 Mac depan apabila pasukan undang-undang Agenda Daily boleh mengemukakan untuk cuba mengetepikan perintah injunksi itu sementara menunggu prosiding saman fitnah utama.
Berniat jahat
Menurut salinan permohonan injunksi ex-parte Ismail Sabri, plaintif memohon injunksi (diberikan hari ini) untuk memaksa defendan memadamkan artikel yang persoalkan itu daripada portal berita Agenda Daily.
Menerusi salinan pernyataan tuntutan saman itu, Ismail Sabri mendakwa artikel itu, "setelah dibaca secara keseluruhannya, mengandungi pelbagai kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan/ atau tidak benar dengan plaintif."
Melalui tindakan sivil utama, plaintif memohon injunksi kekal agar Agenda Daily menurunkan artikel itu dan tidak mengulangi kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.
Ismail Sabri juga memohon defendan mengeluarkan permohonan maaf bertulis dalam terma dan bentuk yang akan diputuskan oleh plaintif, serta menyiarkan permohonan maaf itu di portal tersebut dan dua akhbar tempatan yang akan diputuskan oleh plaintif, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh tarikh penghakiman.
Plaintif juga menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah tahunan 5 peratus ke atas ganti rugi yang diberikan, dikira dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian penuh, kos yang perlu ditanggung oleh defendan atas dasar indemniti penuh, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, peguam perdana menteri Ragunath Kesavan mengesahkan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi ex-parte petang ini.
Jelas peguam itu, pihaknya kini dalam proses menyampaikan salinan perintah injunksi itu kepada defendan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai