Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengurus 'hina' pekerja disleksia - McDonald's janji tindakan

Rangkaian restoran makanan segera McDonald’s Malaysia hari ini berkata pihaknya akan mengambil "tindakan sewajarnya" terhadap seorang pengurus restoran yang telah menghantar mesej teks merendahkan maruah kepada pekerja yang mengalami masalah pembelajaran khusus

Ini berlaku selepas tangkap layar mesej teks pengurus berkenaan tular di media sosial, didedahkan oleh abang kepada pekerja yang terjejas itu.

“Merujuk kepada insiden baru-baru ini di sebuah restoran McDonald’s di Seremban, kami telah menjalankan siasatan dalaman segera dan menyeluruh untuk menangani perkara itu.

"Kami dapat mengesahkan tingkah laku pengurus restoran tertentu didapati tidak boleh diterima dan melanggar dasar kami mengenai kepelbagaian dan keterangkuman.

"Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap individu tersebut," kata syarikat itu

Awal minggu ini, pengguna Facebook Muhammad Hanis menyiarkan hantaran panjang tentang apa yang didakwanya sebagai layanan buruk oleh pengurus cawangan McDonald’s terhadap adiknya, yang menghidap disleksia.

Menurutnya, kejadian bermula apabila pihak pengurusan restoran meletakkan tugasan adiknya dengan hanya merujuknya melalui nombor kakitangan berbanding namanya.

Senarai jadual kerja itu juga dihantar pada pukul 1 pagi pada 13 Feb, menyatakan adiknya bertugas pada pukul 9 pagi yang sama, menyebabkan adiknya terlepas tugasannya.

"Tiba-tiba pukul 10 pagi Ahad itu, salah seorang pengurus premis itu bertanya adik aku dalam group whatsapp, kenapa adik aku tak masuk-masuk kerja lagi sebab kalau ikutkan adik aku perlu masuk pukul 9 pagi. Lepas tu ayah aku tolong whatsapp dan bagi tahu yang nama adik aku tidak ada dalam jadual.

"Sebab itu tidak datang kerja. Then ayah aku reply yang nama adik aku Aniq Ashraf, bukan nombor.

"Kemudian lepas balas mesej tu, kita orang semua keluar dan telefon bimbit adik aku tidak ada internet. Jadi kena tunggu balik rumah baru ada line.

"Bila sampai rumah, aku pun cuba nak ambil tahu pasal adik aku. Kot-kot ada balasan dari pengurus itu. Memandangkan (adik aku) tidak pergi kerja.

"Tak semena-mena ada seorang pengurus itu membalas. Aku gelarkan dia ini Tan Sri - 'Kalau kamu manusia bukan nombor, pastikan lobi aku tak bersepah penyapu dekat luar. Manusia dia dengar cakap, kalau nombor dia tak dengar cakap, dia bodoh sikit'," menurut Hanis.

Hantaran Facebook itu telah dikongsikan lebih 4,500 kali.

Sementara itu, pada hantaran terbaru di Facebook, Hanis berkata permohonan maaf telah diterima oleh pihak keluarganya daripada pihak McDonald’s.

"Beberapa isu lain yang terkait juga telahpun diketengahkan dan pihak syarikat telah ambil maklum serta akan melakukan tindakan susulan atas perkara tersebut.

"Maka dengan ini, kes telah pun selesai dan diharap tiada perkara berbangkit akan timbul terhadap golongan-golongan seperti ini khususnya pada masa akan datang," katanya.