PULASAN | Tiba-tiba jadi premier
PULASAN | Seorang anak Jeli yang mungkin rakyat Kelantan pertama menduduki jawatan begitu tinggi di syarikat telekomunikasi yang sedang sibuk menguruskan liputan 5G di negara ini semalam menzahirkan rasa terujanya.
"Terhibur tengok kakitangan Indonesia menjawab e-mel dalam bahasa Indonesia," katanya dalam sebuah kumpulan WhatsApp, "orang Malaysia pulak, sesama sendiri pun tak reti guna bahasa Melayu."
Ahli lain dalam kumpulan yang asalnya terbina daripada cita-cita menerbitkan buku - tapi tak kesampaian - itu melayan mesej itu seadanya.
Hal berkenaan kerana sudah ada beberapa ahli kumpulan yang suka tergelincir semasa mengeja itu dijangkiti Covid-19.
Bagaimanapun pernyataan itu dibuat beberapa hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan perubahan jawatan ketua kerajaan negeri itu - daripada ketua menteri menjadi ‘premier’.
Setakat pulasan ini ditulis, belum kelihatan lagi kenyataan dibuat daripada pihak yang bertanggungjawab menjaga kehormatan bahasa Melayu. Maksud saya, Dewan Bahasa dan Pustakalah.
Untuk berharap kepada kerajaan menjadi penjaga maruah bahasa kebangsaan, samalah seperti mengharap orang politik tidak bercakap bohong.
Atau menunggu kerajaan negeri mengakui sudah terlanjur menebang balak.
Kemudian, kita pun jadi teringat: Dewan Bahasa dan Pustaka itu kerajaanlah!
Lalu kita pun jadi sedih lagi murung seumpama melihat bagaimana seseorang penjenayah boleh diangkat sebagai ketua tanpa segan, tanpa silu sambil berharap bangsa Melayu dihormati orang.
Semasa membuat semakan mengenai perubahan yang diluluskan DUN Sarawak itu, sebak pun datang tiba-tiba. Rupa-rupanya kerajaan Sarawak sendiri menyerahkan kepada DBP untuk menentukan istilah bahasa Melayu yang sepadan dengan perkataan itu.
Hal tersebut disebut salah seorang menteri Sarawak.
Kata Abdul Karim Rahman Hamzah, kerajaan negeri menyerahkan kepada DBP untuk mencari istilah yang tepat serta bersesuaian dengan "premier". Rupa-rupanya kerajaan Sarawak teringat juga akan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara ini.
Dua ahli akademik kelahiran Sarawak juga menyebut keperluan jawatan itu menggunakan bahasa Melayu. Mereka ialah Prof Madya Awang Azman Awang Pawi, dan Prof Jeniri Amir.
Tetapi di sana ada kelucuan juga. Berita Harian pada 15 Feb melaporkan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) "tidak ada masalah" dengan istilah berkenaan.
Malah kenyataan itu - yang dibuat Ketua Dua Gapena, Amiruddin Md Ali Hanafiah, menganggap istilah berkenaan sebagai "perkara kedua" dalam susunan keutamaan mereka.
"Dari segi penggunaan istilah itu pun, kita tiada masalah, itu perkara kedua. Jika undang-undang benarkan, kita ikut pada ketetapan undang-undang," katanya dipetik akhbar tersebut.
Bagi Gapena, katanya lagi, mereka tidak mempertikai apa saja penggunaan istilah asalkan ia mengikut lunas undang-undang.
Kemudian kita pun teringat kepada persatuan atau pertubuhan yang sebelum ini pernah begitu ranggi memperjuangkan maruah Melayu (sila ambil perhatian bahawa perkataan "pernah" digunakan di sini), termasuk bahasanya.
Di suatu sudut lain di negara ini juga ada sekumpulan orang yang percaya bahawa Melayu ini begitu istimewa atas pelbagai faktor tersendiri. Misalnya bangsa Melayu ini dikatakan cabang pecahan daripada keturunan Nabi Ibrahim.
Ada juga tokoh yang petah berkata-kata mendakwa Melayu itu ada disebutkan dalam al-Quran melalui ungkapan "malaul a’la".
Tetapi hampir-hampir tidak kedengaran suara yang menegur, menasihati - apa lagi membantah - penggunaan istilah premier oleh kerajaan Sarawak untuk jawatan ketua kerajaan mereka.
Nampaknya kita terus selesa untuk mendefinisikan kebenaran mengikut selera sendiri. Ia bukan lagi berlandaskan fakta, tetapi emosi dan kepentingan. Memutarbelitkan kata-kata sudah menjadi lumrah.
Dan Melayu dan Islam tiba-tiba tidak terancam.
"Barangkali semua orang sedang sibuk makan sagun," kata seorang teman.
Saya cuba bersangka baik. Semua orang sedang sibuk dengan hidup masing-masing sekarang. Di depan kita ada banyak masalah yang perlu dihadapi dan diuruskan.
Masalah nak melayan jin bersembang sambil membawang, misalnya.
Belum lagi isu ketiadaan telur di mana-mana. Tidak ketinggalan membawa masalah kepada kita: membiaknya sumpah-sumpah dengan meluas. Begitulah adanya.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang selalu kagum melihat keunikan sesumpah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai