Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mesyuarat PSC dengan SC mengenai isu saham Azam ditangguh

Satu lagi mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Parlimen untuk membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki ditangguhkan.

Kali ini, mesyuarat yang telah ditetapkan antara PSC mengenai Kewangan dan Ekonomi dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) itu ditangguhkan ke tarikh yang belum diputuskan.

Menurut dua ahli jawatankuasa pilihan khas itu, mereka tidak tahu apakah punca penangguhan tersebut.

"Saya tidak tahu kenapa mesyuarat PSC dibatalkan atau ditangguhkan," kata Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming dalam pesanan teks kepada Malaysiakini ketika dihubungi pagi ini.

“Saya menerima e-mel daripada sekretariat (PSC) semalam mengatakan ia ditangguhkan,” tambahnya.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, yang merupakan timbalan pengerusi jawatankuasa itu, turut memberikan respons yang sama dengan mengatakan dia tidak tahu mengapa mesyuarat itu ditangguhkan atau siapa yang meminta penangguhannya.

“Belum ada tarikh,” katanya ketika ditanya bila mesyuarat PSC dijadualkan semula.

Malaysiakini telah menghantar permintaan untuk mendapatkan ulasan kepada pengerusi PSC Hasan Arifin.

Awal minggu ini, PSC menetapkan mesyuarat dengan pengawal selia pasaran saham berkenaan, di mana SC dijangka menjelaskan penemuannya mengenai isu pemilikan saham Azam.

Mesyuarat itu dijadualkan berlangsung pada pukul 9 pagi ini di ibu pejabat SC di Kuala Lumpur.

Dilaporkan PSC merancang untuk memanggil SC sejak Jan lalu bagi mendapatkan penjelasan, selepas badan kawal selia itu menyatakan bahawa ia telah melengkapkan siasatan terhadap Azam di mana tiada bukti pelanggaran berlaku di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda)

Bagaimanapun, akibat kritikan meluas terhadap pengumumannya, SC mengeluarkan penjelasan pada hari berikutnya (19 Jan), yang menjelaskan ia tidak menemui bukti perdagangan saham secara proksi.

Sebelum ini, PSC Bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri telah memanggil Azam untuk memberikan penjelasan berikutan bantahan orang ramai terhadap skandal pemilikan saham tersebut.

Rekod menunjukkan Azam merupakan pemegang waran utama dalam syarikat senaraian awam Excel Force MSC Sdn Bhd setakat Mac 2016. Azam merupakan pengarah bahagian siasatan SPRM pada masa berkenaan.

Mesyuarat itu ditangguhkan selepas Azam tidak bersetuju dengan agenda pendengaran itu. Bagaimanapun ia masih belum dijadualkan semula.