'Rakyat perlu bersama-sama hadapi cabaran varian Omicron'
Rakyat Malaysia perlu bersama-sama menghadapi cabaran varian Omicron Covid-19 dengan mematuhi semua langkah kesihatan awam dan sosial termasuk prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di akaun Twitternya berkata banyak negara di rantau ini menunjukkan trend peningkatan kes Covid-19.
“Sila dapatkan vaksinasi dan dos penggalak untuk melindungi diri anda dan orang tersayang,” katanya.
Malaysia merekodkan kes Covid-19 harian tertinggi hari ini sejak kes positif pertama dilapor pada Januari 2020 dengan 27,831 kes dilaporkan.
Daripada jumlah itu, 27.33 peratus atau 7,606 kes adalah dalam kategori satu, 72.32 peratus atau 20,128 kes kategori dua, 0.21 peratus atau 59 kes kategori tiga, 0.1 peratus atau 28 kes kategori empat dan 0.04 peratus atau 10 kes kategori lima.
Dalam satu ciapan lain, Dr Noor Hisham berkata walaupun semasa kes diuji dan baru didiagnosis, kebanyakan pesakit adalah pada kategori rendah seperti contoh hari ini 99.65 peratus kes dilaporkan dalam kategori satu dan dua, namun dalam hari-hari berikutnya ada kes yang merosot ke kategori yang lebih tinggi dan memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital.
Menurutnya sehingga lima petang hari ini, kes Covid-19 baru dimasukkan ke hospital adalah 1,269 kes dan daripada jumlah itu 428 kes (33.7 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Sebanyak 841 kes atau 66.3 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, bilangan pesakit Covid-19 di katil bukan kritikal dan unit rawatan rapi (ICU) meningkat manakala pesakit di PKRC menurun hari ini berbanding semalam.
Dia berkata penggunaan katil ICU bagi kes Covid-19 di dua negeri adalah lebih daripada 50 peratus iaitu Johor 61 peratus dan Kuala Lumpur 51 peratus.
Katanya bagi katil PKRC, sembilan negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus dengan Melaka mencatatkan kadar 100 peratus diikuti Selangor 82 peratus.
Dr Noor Hisham berkata tujuh negeri lain yang mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus ialah Negeri Sembilan (79 peratus), Pahang (71), Kelantan (67), Sabah (64), Johor (63), Kedah (62) dan Perak (56).
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai