Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Akhirnya ibu tunggal dibenarkan luang masa sejam dengan anaknya

Setelah dinafikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis semalam, ibu tunggal Loh Siew Hong akhirnya dapat meluangkan masa selama sejam bersama tiga anaknya hari ini.

Loh berkata anak-anaknya - sepasang kembar berusia 14 tahun dan lelaki 10 tahun - teruja dapat bertemunya dan bertanya bilakah mereka dapat pulang bersamanya.

“Mereka tanya saya tinggal di mana dan saya tunjukkan tempat kerja saya di Genting Highlands, mereka juga tanya bila mereka dapat pergi ke sana.

“Saya jaga dapat berikan barang yang saya bawa semalam, dan beri mereka makan makanan yang saya masak.

“Mereka minta saya beli macam-macam benda dan saya rancang untuk beli jam warna biru, hitam dan merah jambu untuk mereka. Mereka juga nak kasut sukan, seluar jeans,” kata Loh yang jelas gembira kepada Malaysiakini hari ini.

Namun, katanya lagi, kunjungan sejam hari ini hadir dengan beberapa syarat - dia tidak boleh bergambar bersama mereka, keretanya perlu diletakkan di luar premis dan dia juga perlu membuat ujian antigen Covid-19.

Loh berkata dia ada bertanya kepada pegawai JKM hari ini jika dia boleh berjumpa anaknya lagi selepas ini, tetapi diberitahu ia memerlukan kebenaran pihak atasan.

Setelah pencarian sejak 2019, Loh dan tiga anaknya pertama kali disatukan semula dalam satu pertemuan singkat di  Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di Perlis dua hari lalu.

Loh berkata pada masa itu, anak-anaknya tampak keberatan untuk pulang bersamanya dan dia ingin memberikan mereka sedikit masa agar mereka tidak bertambah trauma.

Menurut Loh, itulah sebabnya dia pada mulanya membenarkan mereka di bawah jagaan JKM Perlis, sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya ada hak penjagaan penuh, saya boleh bawa mereka pulang bersama tetapi saya tak ingin gunakan paksaan. Hati mereka perlu rasa nak pulang bersama saya,” katanya lagi.

Loh dan suaminya, Nagahswaran Muniandy berpisah pada Mac 2019 dan dia untuk suatu tempoh tinggal di sebuah pusat perlindungan keganasan rumah tangga, ketika proses menuntut penceraian dan hak penjagaan mutlak untuk tiga anaknya itu.

Nagahswaran dilaporkan melarikan tiga kanak-kanak itu ketika ketiadaan Loh dan menukar agama dan menempatkan mereka di sebuah NGO berkaitan Islam.

Dia kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah.

Loh kemudian berjaya bercerai dengan suaminya dan diberikan hak penjagaan penuh pada Mac 2021. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga mengarahkan agar polis memastikan anak-anaknya kembali bersamanya.

Lokasi tiga anaknya akhirnya berjaya dikesan, iaitu di sebuah NGO untuk mualaf. Seorang anggota NGO itu pada mulanya tidak membenarkan Loh bertemu mereka, tetapi wanita itu kemudian dilaporkan menghubungi Loh setelah dia membuat laporan polis.

[Baca berita asal]