Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MMA bantah remaja perempuan didakwa bunuh bayi sendiri

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata pihaknya terkejut dengan keputusan untuk mendakwa wanita mangsa rogol berusia 15 tahun yang menikam bayi yang baru dilahirkannya dengan tuduhan bunuh.

“Majistret, dalam kes ini mendakwa remaja perempuan ini atas tuduhan bunuh, kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Dia yang menjadi mangsa rogol sembilan bulan lalu sekali lagi menjadi mangsa ketidakadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Koh berkata, mangsa keganasan seksual - lelaki mahupun perempuan - boleh mengalami kesan mental, perlakuan dan sosial.

“Wanita yang menjadi sebahagian besar mangsa mengalami akibat tambahan iaitu kehamilan, selain trauma dan risiko mengalami jangkitan berkaitan seksual.

“Ada banyak kesan kesihatan akibat keganasan seksual, daripada kesihatan reproduktif di mana mereka mungkin mengalami trauma ginekologi atau pengguguran tidak selamat kepada isu kesihatan mental antaranya seperti kemurungan, keresahan (anxiety) dan gangguan stres pascatrauma (PTSD),” katanya.

Semalam, remaja wanita itu dilaporkan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Menurut laporan Malay Mail, majistret Tengku Eliana Kamaruzaman menolak permohonan ikat jaminnya, di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu.

Koh berkata lagi, mangsa trauma seumpama kes rogol mungkin mula menunjukkan kelakuan berisiko tinggi.

“Akibat fatal daripada rogol termasuk bunuh diri, AIDS, pembunuhan ketika rogol, atau malah membunuh anak yang lahir daripada kejadian itu.

“Selain trauma, dia juga menanggung akibat hamil dan berdepan reaksi masyarakat, menambahkan lagi penderitaan yang dialami, seterusnya meningkatkan risiko bukan saja melibatkan sakit mental tetapi mendesaknya ke arah perilaku tidak wajar seperti membunuh bayi yang dilahirkan.

“Jika dia sudah pun mengalami kemurungan akibat kehamilan yang tidak diingin, risiko mengalami kemurungan postpartum (selepas bersalin) pastinya lebih tinggi,” katanya lagi.

Pihak berkuasa juga sedang menjejaki teman lelakinya yang berusia 20 tahun, yang dipercayai merogolnya.

Bayi tersebut ditemukan meninggal dunia di rumah remaja itu di Felcra Sri Bandi di Chukai, Kemaman pada 8 Februari lalu.

Mangsa dipercayai ditikam menggunakan objek tajam.

Koh turut mempersoalkan kenapa remaja itu tidak ditawarkan sokongan psikologi yang wajar sepanjang tempoh mengandung.

“Sejauh mana etakutan dan tekanan yang pasti dialami wanita muda ini sepanjang mengandung, sehingga menyebabkan dia membunuh bayinya di hari ia dilahirkan?

“Kita telah melihat kes di mana perogol biasanya bebas ekoran bukti yang tidak cukup atau tiada laporan dibuat kerana stigma sosial, yang akhirnya menyebabkan mangsa ditinggalkan untuk menghadapinya sendirian.

“Ada keperluan untuk melihat semula keputusan mahkamah dalam kes ini,” katanya lagi.