Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Apa guna tukar nama tapi kuasa KM Sarawak tetap sama, soal MP

Sarawak dan Sabah harus mendapatkan lebih banyak pengagihan kuasa daripada Putrajaya di sebalik menukar gelaran ketua menteri mereka, kata ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Chan menegaskan bahawa istilah baru yang diterima pakai oleh Sarawak - "Premier" - tidak diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 160 hanya menyatakan "Ketua Menteri" atau "Menteri Besar" sebagai ketua majlis eksekutif dalam sesebuah negeri.

“Pindaan kepada perlembagaan Sarawak tidak membuat sebarang perubahan dalam tugas mahupun kuasa jawatan tersebut, dan ia juga tidak menyebabkan kerajaan persekutuan mengurangkan sebarang kuasa terhadap negeri itu.

"Saya berpendapat adalah lebih penting untuk mendorong lebih banyak pengagihan kuasa pusat yang tertumpu pada kerajaan persekutuan, termasuk kuasa membuat dasar tertentu dan kuasa fiskal, bagi mencapai autonomi sebenar yang dicari oleh rakyat Sabah dan Sarawak," katanya.

Chan mengulas gesaan agar Sabah mencontohi keputusan Sarawak menukar gelaran ketua eksekutif mereka sama seperti yang diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Dia berkata isu yang dibangkitkan terhadap negeri Sabah bukanlah sama ada mereka harus mencontohi Sarawak tetapi untuk memastikan pengagihan kuasa pusat kepada Sabah dan Sarawak melalui pindaan perlembagaan yang selanjutnya.

Semalam, Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’. RUU itu disokong oleh majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan menyokongnya dengan enam menentang.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Abdul Karim Rahman Hamzah yang membentangkan RUU itu, pindaan itu seiring pindaan Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa minggu lepas.

Semasa menjelaskan penggunaan ‘Premier’ bagi menggantikan ‘Ketua Menteri’ di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak, dia berkata ia sama seperti yang diamalkan oleh negara-negara Komanwel lain.

[Baca berita penuh]