Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NGO tuntut penjelasan kes terbaru kematian dalam tahanan polis

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa pihak polis mengadakan pemeriksaan kesihatan terhadap Orang Kena Tahan (OKT).

Gesaan itu dibuat susulan kes kematian baru melibatkan OKT di lokap ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak, kelmarin.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata unit kesihatan perlu ditubuhkan di pusat tahanan dengan secepat mungkin. 

"Suaram sebelum ini telah mengetengahkan punca utama mengapa kes kematian dalam tahanan berlaku. Seperti kes-kes sebelum ini, kematian dalam tahanan kebanyakannya berlaku atas faktor kesihatan. 

"Pihak polis sering mengingkari Seksyen 10 Kaedah-kaedah Lokap 1953, yang mewajibkan pemeriksaan kesihatan terhadap OKT. Perkara ini dititikberatkan, banyak kematian dalam tahanan yang dapat dielakkan," katanya.

Katanya, Suaram tidak dapat menerima bahawa OKT mati dalam tahanan hanya kurang dua jam selepas ditahan. 

“Pertama, bagaimana OKT boleh mengalami kesesakan nafas kurang sejam selepas ditahan, dan apakah tindakan susulan selepas OKT melaporkan dia mengalami kesesakan nafas. 

“Kedua, pihak polis harus memberikan penjelasan tentang keadaan OKT semasa dan selepas ditahan, atau bagaimanakah dia ditahan. 

“Sebagai contoh adakah ada pergelutan berlaku berlaku semasa penahanan,” katanya.

Kematian terbaru itu yang kelapan bagi tahun 2022.

Sementara itu, Suaram juga mendakwa Kementerian Dalam Negeri bersikap acuh tak acuh dalam menangani isu kematian dalam tahanan. 

"Mengapakah tiada koordinasi diantara pihak PDRM- Kementerian Dalam Negeri- dan Jabatan Peguam Negara dalam kerja siasatan dan tindakan susulan mengenai kematian dalam tahanan?" soalnya.