Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

‘Orang suka nama orang Putih dan Arab’

ULASAN l Dalam sebuah negara persekutuan macam Malaysia, Australia dan Kanada, ketua kerajaan pusat digelar Perdana Menteri. Dalam bahasa Inggeris, Prime Minister.

Ketua kerajaan negeri dalam bahasa Inggeris disebut Chief Minister macam di India. India sebuah republik persekutuan. Di Australia dan Kanada, ketua kerajaan negeri diberi gelaran Premier.

Di Malaysia, ketua kerajaan negeri-negeri Melayu dipanggil Menteri Besar. Tidak ada gelaran dalam bahasa Inggeris. Ketua kerajaan Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka), Sarawak dan Sabah digelar Ketua Menteri atau dalam bahasa Inggeris, Chief Minister.

Malah ada juga orang yang kata, gelaran Perdana Menteri itu pun tidak berapa tepat. Mereka kata, Menteri Perdana lebih tepat.

Jangan pula kita keliru antara ketua negara dengan ketua kerajaan. Ketua negara Malaysia adalah Yang di-Pertuan Agong. Ketua kerajaan adalah Perdana Menteri.

Sekarang Sarawak nak stylisedkan Ketua Menteri/Chief Minister menjadi Premier. Tapi Premier itu bahasa Inggeris. Adakah dalam bahasa Melayu pun mereka hendak guna Premier juga?

Di Malaysia banyak orang suka nama orang Putih dan Arab. Tak faham kepala ekor tak apa asalkan nampak bergaya. Lepas ini janganlah hairan kalau negeri-negeri lain pun nak tiru Sarawak dengan menukar gelaran Menteri Besar dan Ketua Menteri mereka.

Inilah jadinya apabila kerajaan pusat lemah dan Perdana Menteri tidak dihormati. Negeri-negeri pun naik tocang.

Sarawak dan Sabah sekarang tengah beria-ia hendak berlainan daripada Semenanjung atas alasan autonomi. Kita sedar dan, sikit sebanyak, kita faham aspirasi mereka.

Tapi setakat tukar gelaran Chief Minister jadi Premier kerana nak bunyi seakan-akan Prime Minister pun tak guna juga kalau benda-benda lain yang bersangkut-paut dengan kehidupan rakyat jelata tidak bertambah baik.

Malangnya media massa berbahasa Inggeris pun sering keliru mengenai penggunaan Prime Minister dan Premier ini. Mereka sering mencampuradukkannya. Penggunaan yang tepat adalah "Prime Minister of Australia, Scott Morrison". "Premier of Victoria, Daniel Andrews".


A KADIR JASIN ialah tokoh wartawan yang pernah bergiat dalam politik melalui Bersatu ketika bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad masih bersama parti itu.

Tulisan ini disiarkan kali pertama di media sosialnya dengan tajuk asal “Orang keliru dengan gelaran baru”.