Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Saya cuma nak menangis' - Ibu tunggal kembali dihalang jumpa anak

Ibu tunggal, Loh Siew Hong masih tidak disatukan dengan tiga anaknya walaupun akhirnya dapat mengesan lokasi mereka, setelah bekas suaminya menukar agama mereka secara sepihak tiga tahun lalu.

Tiga anaknya - kembar berusia 14 tahun dan lelaki berusia 10 tahun - bertemu sekejap dengan ibunya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di Perlis semalam.

Namun, mereka kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Loh yang dalam keadaan sedih memberitahu Malaysiakini yang dia kini dihalang JKM untuk melawat anaknya, walaupun dia pada mulanya diberitahu dapat bertemu selama sejam setiap hari, dengan syarat melakukan ujian Covid-19.

Hari ini dia diberitahu tidak dapat melawat ekoran peningkatan kes Covid-19.

“Saya hanya mahu menangis. Saya tidak dapat jelaskan perasaan saya. Walaupun akan kini ada di depan mata, saya tak boleh bawa mereka bersama.

“Saya beritahu mereka, saya tiada masalah dengan sebarang agama mereka asalkan mereka bersama saya.

“Tanyalah mana-mana agama dan jawapannya ‘syurga di bawah telapak kaki ibu’. Jadi mengapa mereka cuba pisahkan anak-anak dengan saya?” soal Loh yang terus menangis apabila ditanya berkenaan terpisahnya dia dengan tiga anaknya.

Kata Loh lagi, dia sangat teruja untuk melawat anak-anak hari ini, dan membawa baju baru dengan warna kegemaran mereka serta memasak makanan kegemaran mereka.

Malangnya, kata Loh lagi, dia tidak berpeluang untuk memberikan barangan tersebut.

Loh dan suaminya, Nagahswaran Muniandy berpisah pada Mac 2019, dan tidak lama kemudian wanita itu terasing dengan anak-anak.

Nagahswaran dilaporkan melarikan tiga kanak-kanak itu ketika ketiadaan Loh dan menukar agama dan menempatkan mereka di sebuah NGO berkaitan Islam.

Nagahswaran kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah.

Selepas penceraian mereka, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan hak penjagaan mutlak kepada Loh pada Mac 2021, dan dia menghabiskan sembilan bulan mencari mereka sebelum meminta bantuan polis Bukit Aman.

Dia kemudian mendapati anak-anaknya bersama sebuah NGO mualaf. Seorang anggota NGO itu pada mulanya tidak membenarkan Loh bertemu mereka, tetapi wanita itu kemudian dilaporkan menghubungi Loh setelah dia membuat laporan polis.

Ketika pertemuan kali pertama di IPD Kangar semalam, Loh berkata anak-anaknya kelihatan sudah bersedia untuk kembali bersamanya.

“Anak bongsu saya duduk atas riba dan peluk saya, dia kata ‘ibu, saya nak ikut ibu’,” katanya.

Dua anak kembarnya juga bertanya sama ada dia ingin menganut Islam, kata Loh lagi.

“Saya beritahu mereka, selagi mereka bersama saya, saya sanggup lakukannya. Saya sudah pun di tahap ini. Berapa tahun saya cari kalian dan sekarang kalian minta ini, baiklah, saya terima,” kata Loh.

Tak kisah kalau sudah 18 tahun dan pilih agama sendiri

Namun apabila ditanya jika dia benar-benar sanggup untuk menukar agama demi bersatu kembali dengan anak-anaknya, Loh tampak ragu-ragu.

“Saya cuma jawab untuk mereka (anak-anak), tapi dalam hati saya, agama saya Hindu, bagaimana boleh tukar (begitu saja),” keluhnya.

Loh seperti masih berasa tidak berpuas hati dengan penukaran agama anak-anaknya di saat dia - ibu mereka - masih hidup.

Kata Loh, dia malah membangkitkanya dengan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis semalam yang menunjukkan dokumen bahawa agama kanak-kanak tersebut telah ditukar kepada Islam.

“Saya tanya dia bagaimana ini boleh terjadi. Saya masih hidup, belum mati dan tanpa kebenaran saya, agama anak-anak saya ditukar. Kenapa?

“Jika mereka sudah berusia lebih 18 tahun dan mahu pilih agama sendiri, saya tak kisah.

“Tetapi sekarang mereka masih kecil, belum tahu betul salah, belum tahu bagaimana buat pilihan, bagaimana anda boleh paksa mereka?” katanya lagi.

[Baca berita asal]