Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah S'pura tolak rayuan hukuman mati banduan 'kurang upaya intelek'

Peguam yang mewakili banduan hukuman mati Singapura, Pausi Jefridin dan Roslan Bakar sedang melancarkan usaha baharu untuk menghentikan pelaksanaan hukuman mati anak guamnya yang dijadualkan pada subuh esok, selepas usaha untuk berbuat demikian petang ini ditolak oleh Mahkamah Rayuan negara itu.

“Permohonan semakan kehakiman baru telah difailkan secara segera petang ini untuk menghalang hukuman gantung terhadap Pausi dan Roslan.

“Permohonan yang belum selesai ini mesti didengar oleh mahkamah Singapura, dan tiada hukuman boleh dijalankan sehingga proses undang-undang ini habis.

"Kami menggesa kerajaan Singapura dan pihak berkuasa kehakiman untuk memastikan bahawa pelaksanaan seperti yang dijadualkan esok tidak berlaku memandangkan hak Pausi dan Roslan untuk meneruskan tindakan undang-undang mereka yang belum selesai hingga ke kesimpulan," kata kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu tidak menyebut alasan keputusan mahkamah menolak permohonan hari ini untuk semakan kes.

Pausi adalah warganegara Malaysia manakala Roslan adalah warganegara Singapura. Kedua-duanya disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah di Singapura pada 2010.

LFL sebelum ini berkata Pausi hanya mempunyai IQ 67 yang sepatutnya dianggap sebagai kurang upaya intelek, manakala Roslan juga mempunyai fungsi intelek rendah.

Ia berhujah bahawa mereka berada dalam perlindungan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD), dan memandangkan Singapura adalah penandatangan CRPD, hukuman mati mereka harus dihentikan.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa mahkamah Singapura telah memutuskan bahawa walaupun tahap IQ mereka sedemikian, "(Pausi dan Roslan) telah menunjukkan kecekapan dan kefahaman tentang apa yang mereka lakukan apabila mereka menjalankan tindakan mengedar dadah itu."