Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Muda tak perlu melekat dengan parti lain

Penting untuk Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bergerak bebas dan tidak mendekatkan diri dengan mana-mana parti politik sedia. 

Ini akan memudahkan urusan membawa pembaharuan, serta memenuhi harapan ramai untuk melihat kemunculan sebuah kuasa baru atau kuasa ketiga yang boleh memberi harapan baru pada rakyat, khususnya para pengundi. 

Parti Muda yang ditubuhkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada September 2020 tidak perlu mengadakan sebarang kerjasama, usahasama dan persefahaman dengan mana-mana parti seperti BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka benar-benar ingin membawa pembaharuan sebenar. 

Parti-parti sedia ada sudah lama bertapak. Idea dan matlamat mereka pun dilihat makin hari makin tidak selari dengan citarasa generasi masa kini. 

Secara peribadi saya lebih suka tengok Muda bergerak solo, walaupun sukar untuk mana-mana parti politik baru untuk memulakan langkah dalam dunia politik.

Rakyat negara ini sudah muak dengan parti-parti lama. Penubuhan Muda diharapkan menyajikan pilihan baru kepada rakyat Malaysia untuk diberi kepercayaan dan mentadbir Malaysia. 

Parti ini dipelopori rata-ratanya generasi Muda yang memiliki idea serta matlamat baru yang sesuai dengan kehendak generasi masa kini.

Muda diharapkan memberi alternatif untuk mengubah landskap politik yang sudah lama diterajui generasi tua yang ketinggalan zaman dan tidak faham hasrat generasi baru. 

Sudah sampai masanya Malaysia diterajui oleh sebuah parti baru yang dipelopori generasi baru, dengan idea baru, untuk membawa Malaysia ke arah baru yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. 

Namun, saya agak terkilan dengan perkembangan terbaru berkaitan arah Muda kebelakangan ini, khususnya semenjak pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor yang memberi jalan kepada sebuah lagi pilihan raya negeri (PRN). 

Parti berkenaan akan mengadakan bentuk kerjasama dengan parti-parti dalam PH. 

Muda dilaporkan akan bertanding di sekurang-kurang enam kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor 12 Mac ini setelah persefahaman dicapai dengan DAP dan Amanah. 

Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Syed Saddiq disebut pembahagian kerusi itu bagi memastikan tidak berlaku pertindihan calon. 

Enam kerusi diberikan laluan oleh DAP dan Amanah ialah Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai. 

Melalui persefahaman ini, adakah bermakna Muda akan tidak akan melawan parti-parti politik dalam PH? Sekiranya ini benar, bagaimana pula dengan kedudukan Muda dalam landskap politik negara kita? 

Adakah Muda akan jadi sebahagian daripada PH? Sekiranya ya, Malaysia tidak akan memiliki kuasa ketiga yang diharap-harapkan.

Penting untuk Muda melihat semula hala tuju mereka. Adakah Muda ingin kekal sebagai sebuah parti politik yang benar-benar bebas atau ingin menjadi sebahagian daripada gabungan mana-mana parti politik sedia ada? 

Persoalan ini harus dijawab dengan ikhlas dan jelas oleh kepimpinan Muda sendiri. 

Muda tidak boleh membiarkan rakyat Malaysia ternanti-nanti dan tertanya-tanya. Ini bagi mengelakkan salah faham, bukan sahaja di kalangan ahli parti malah pengundi dan seluruh rakyat Malaysia yang ketagihkan pembaharuan. 


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.