Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

‘Adakah warga asing diklasifikasikan sebagai bumiputera?’

Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham menuntut supaya Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak menyelewengkan angka-angka Banci Penduduk dan Perumahan 2020 untuk agenda politik perkauman.

Sebaliknya, kata pemimpin DAP itu, perangkaan penduduk Malaysia mesti dibentangkan secara tulus seperti tinjauan dan tidak dipesongkan.

“Adakah kebanyakan warga asing di Malaysia diklasifikasikan sebagai bumiputera?

“Perkataan bumiputera tidak terdapat dalam mana-mana undang-undang kita.

“Undang-undang kita hanya merujuk kepada bangsa Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak, Orang Asli, Cina, India dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ismail Sabri berkata bagi statistik mengikut etnik, penduduk bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 69.4 peratus diikuti Cina (23.2 peratus), India (6.7 peratus) dan lain-lain (0.7 peratus).

Dia langsung tidak memberikan butiran lanjut.

Menurut Ngeh, statistik kumpulan etnik harus dibentangkan mengikut kaum etnik seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang negara dengan jumlah penduduk bagi setiap kumpulan etnik disenaraikan secara terperinci.

“Ini penting untuk pelaksanaan dasar kerajaan kita.

“Kumpulan-kumpulan anak negeri Sabah dan Sarawak harus dikelaskan secara berasingan kerana keperluan mereka berbeza dengan orang Melayu di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Ngeh berkata, sebagai contoh orang Melayu di Semenanjung ingin melihat dana yang mencukupi diperuntukkan untuk hal-hal berkaitan dengan agama Islam kerana mereka beragama Islam.

Namun lain halnya bagi majoriti anak negeri Sabah dan Sarawak yang bukan Islam. Bagi mereka, jumlah dana yang adil dan berpatutan seharusnya diperuntukkan untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan agama mereka.

Dia juga mempersoalkan jika komposisi yang disebut oleh Ismail sabri semalam hanya merangkumi warganegara Malaysia atau keseluruhan 32.4 juta penduduk di Malaysia.

“Menurut pengumumannya, daripada jumlah penduduk 32.4 juta orang, rakyat Malaysia berjumlah 29.8 juta atau 91.7 peratus manakala selebihnya bukan warganegara seramai 2.7 juta atau 8.3 peratus.

“Jika komposisi etnik yang dinyatakan oleh perdana menteri merangkumi keseluruhan 32.4 juta penduduk, maka hampir kesemua 2.7 juta warga asing itu diklasifikasikan sebagai bumiputera yang jelas tidak boleh diterima,” katanya.

Semalam perdana menteri berkata, penemuan Banci 2020 akan dijadikan tanda aras baru untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat.

Ia juga dapat memberikan input menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs).