Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peguam positif Covid-19, kes rasuah projek solar Rosmah ditangguhkan

Peguam utama Rosmah Mansor, Akberdin Abdul Kader telah diuji positif dengan Covid-19, manakala dua lagi peguam belanya mempunyai hubungan rapat.

Akibatnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini terpaksa menangguhkan perbicaraan rasuahnya kepada 23 Feb yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Timbalan Pendakwa raya Gopal Sri Ram memaklumkan hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan bahawa bukan sahaja Akberdin dijangkiti Covid-19, tetapi dua lagi peguam bela - Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork - mempunyai kontak rapat dengan Akberdin dan dikehendaki menjalani kuarantin kendiri.

Hakim kemudiannya memaklumkan bahawa mahkamah sebelum ini telah menerima surat daripada firma guaman Jagjit yang memohon prosiding hari ini ditangguhkan berikutan dirinya dan seorang lagi rakannya dijangkiti Covid-19.

“Kami perlu letakkan secara rekod bahawa perbicaraan hari ini tidak dapat diteruskan kerana kami (mahkamah) menerima surat daripada firma guaman Jagjit yang mengatakan bahawa Akberdin dijangkiti Covid-19.

“Saya difahamkan dia telah disahkan positif pada 12 Februari. Kami berharap dia akan segera pulih.

"Saya juga difahamkan bahawa Jagjit Singh dan Azrul Stork berhubungan rapat dengan Akberdin, dan mereka perlu dikuarantin," kata Zaini, sambil Rosmah melihat dari kandang tertuduh.

Hakim kemudian menetapkan 23 Februari untuk menyambung semula perbicaraan.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk hari terakhir perbicaraan pembelaan dengan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak, Siti Azizah Sheikh Abod juga sepatutnya disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa permohonan telah difailkan untuk saksi utama dalam kes itu, bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Pada 18 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Ia membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Sistem Hibrid Solar Photovoltaic (PV) Bersepadu serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri, berikutan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah juga berdepan kes pengubahan wang haram RM7 juta dan pengelakan cukai yang belum selesai yang masih belum dibicarakan sepenuhnya.