Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Fahmi Reza dihadapkan ke mahkamah lagi Khamis ini

Pereka grafik Fahmi Reza akan didakwa sekali lagi di mahkamah pada Khamis ini berhubung satu hantaran yang dimuat naik di media sosial.

Aktivis itu memaklumkan perkara berkenaan dalam satu catatan di akaun Twitternya lewat petang semalam dengan menyatakan ia merupakan "dua pertuduhan di mahkamah dalam satu bulan".

Pada 8 Feb lalu, Fahmi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung hantaran bersifat jelik terhadap seorang menteri tahun lepas.

Peguamnya, Rajsurian Pillai turut mengesahkan anak guamnya akan menghadapi pertuduhan baru di Mahkamah Sesyen (Siber) Kuala Lumpur pada Khamis ini.

"Khamis, 9 pagi, di KL (Mahkamah Sesyen (Siber))," katanya.

Bagaimanapun, Rajsurian enggan memberitahu mengenai hantaran mana yang dimaksudkan.

Aktivis sosial dan politik itu sebelum ini dikenali sebagai individu yang lantang mengkritik pihak berkuasa, antaranya melukis karikatur badut membabitkan perdana menteri pada 2016, Najib Razak.

Pada 26 Jan lalu, Bernama melaporkan Fahmi dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang didakwa menggambarkan imej Jata Pahang yang disunting dengan perkataan House of Balak.