Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Subjek bencana alam bukan keperluan mendesak

ULASAN | Saban tahun, fenomena bencana alam seperti banjir berlaku di negara kita. Pelbagai inisiatif daripada individu, pihak kerajaan mahupun NGO wajar mendapat pujian.

Malah, banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar Selangor akhir tahun lalu benar-benar membuka mata masyarakat bahawa kuasa Ilahi melangkaui perancangan manusiawi.

Kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob susulan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana baru-baru ini menimbulkan satu lagi persoalan dalam arena pendidikan.

Cadangan mewujudkan satu subjek baru di semua peringkat pendidikan iaitu sekolah,kolej dan universiti akan dilaksanakan bagi menyesuaikan diri menghadapi bencana.

Usul cadangan ini menimbulkan keluh-kesah dalam kalangan pendidik. Belum habis lagi dengan cabaran pendidikan secara dalam talian era pandemik, ditambah lagi dengan karenah pengoperasian pembukaan sekolah dan terkini mata pelajaran baru.

Banyak tanda tanya yang timbul di benak fikiran: siapakah yang akan dipertanggungjawabkan untuk mengajar subjek tersebut?

Wujudkah kursus-kursus untuk meningkatkan profesionalisme guru bagi pengajaran subjek ini? Apakah subjek ini berkesan dalam mendidik anak-anak pelajar menghadapi bencana?

Saya secara peribadi berpendapat bahawa subjek baru tersebut bukan satu keperluan mendesak buat masa ini memandangkan mata pelajaran yang sedia ada diajarkan di sekolah menengah dan sekolah rendah sudah memadai dan cukup untuk menangani isu ini.

Subjek geografi dan sains misalnya mempunyai topik yang berbicara tentang alam sekitar dan bencana alam. Para guru pastinya mengaitkan subjek pembelajaran dengan isu semasa yang berlaku.

Hal ini membolehkan para pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam situasi bencana di Malaysia.

Para pelajar juga mempunyai akses kepada maklumat yang lebih mendalam terhadap topik tersebut memandangkan buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sudah berevolusi dengan dibekalkan pautan atau kod QR  bagi memudahkan para pelajar membuat pembacaan kendiri di rumah.

Bukan itu sahaja, pengenalan subjek baru dilihat sebagai satu bentuk pembaziran ekoran silibus pendidikan kita sudah mempunyai Elemen Merentas Kurikulum (EMK).

Elemen-elemen tersebut termasuklah pendidikan alam sekitar, nilai murni, sains dan teknologi, patriotisme, kepimpinan, pendidikan pengguna dan lain-lain lagi.

Kesemua elemen ini telah diserapkan dalam setiap mata pelajaran untuk diajarkan kepada para pelajar. Maka, pengenalan subjek baru berkaitan bencana ini sememang tidak relevan untuk diwujudkan.

Sekiranya kita benar-benar dan serius dalam mendidik rakyat Malaysia berkaitan prosedur operasi standard (SOP) menghadapi bencana, buku teks dan silibus untuk subjek tertentu di sekolah bolehlah dikemas kini mengikut peredaran semasa.

Sekurang-kurangnya pihak Kementerian Pendidikan (KPM) boleh mengurangkan kos operasi dan kos cetakan sekiranya subjek ini tidak diperkenalkan.

Satu jawatankuasa bertindak perlu diwujudkan bagi mengkaji dan menganalisis keperluan subjek ini. Tinjauan berskala besar perlu dilaksanakan kepada institusi pendidikan atasan hinggalah ke akar umbi akan keperluan  subjek ini.

Penulis teringat satu masa dahulu juga, pernah ada khabar angin ingin diwujudkan subjek alam sekitar di sekolah. Usaha ini akhirnya terkubur begitu sahaja ekoran tiada ketekalan dalam memperjuangkan  subjek tersebut.

Kita mengharapkan agar setiap duit rakyat yang dibelanjakan untuk negara mempunyai nilai tambah dan memberi manfaat kembali kepada anak-anak kita.

Jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam dan  ibarat melepaskan batuk di tangga. Semoga kita akan dapat membuat keputusan yang lebih baik untuk masa depan negara.


MOHD NAZARETH ARIPIN adalah pendidik dan aktivis Pertubuhan Ikram Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.