Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sweden syor suntikan dos vaksin keempat untuk warga tua

GLOBAL | Agensi Kesihatan Sweden mengesyorkan pada hari Isnin bahawa penduduk berumur 80 tahun ke atas harus menerima suntikan kedua dos penggalak vaksin COVID-19, suntikan keempat secara keseluruhan, untuk mengelak imuniti yang semakin berkurangan di tengah-tengah penyebaran berleluasa varian Omicron..

Saranan itu juga meliputi semua orang yang tinggal di rumah jagaan atau yang menerima bantuan perkhidmatan hidup di rumah. Suntikan dos penggalak kedua harus diberikan sekurang-kurangnya empat bulan selepas suntikan penggalak pertama, kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Sweden mencecah tahap rekod jangkitan awal tahun ini apabila Omicron merebak dengan pantas ke seluruh negara.

Tetapi pihak berkuasa bergantung pada suntikan dos penggalak dan simptom varian itu yang lebih ringan untuk mengurangkan tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan serta menghapuskan sekatan dan mengurangkan ujian pada bulan ini.

Jangkitan kekal berleluasa dan Agensi Kesihatan Sweden berkata peningkatan jumlah kes dalam kalangan kumpulan yang berisiko lebih besar untuk penyakit serius, seperti penghuni rumah jagaan, telah direkodkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

"Dos penggalak menguatkan perlindungan. Oleh itu kami percaya orang yang berumur 80 tahun ke atas akan mendapat manfaat daripada dos penggalak kedua," kata Ketua Epidemiologi Anders Tegnell.

Sebagaimana pusingan pertama suntikan dos penggalak, vaksin harus terdiri daripada vaksin Pfizer/Biontech atau Moderna, kata agensi itu.

(Laporan oleh Niklas Pollard; Penyuntingan oleh Simon Johnson)

Reuters