Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis tahan bapa kepada kanak-kanak maut makan sisa tong sampah

Bapa kepada dua kanak-kanak yang ditemui mati di Langkawi ditahan malam tadi, menurut polis daerah Langkawi.

Difahamkan juga, dia didapati positif dadah selepas ditahan

Lelaki berusia 36 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

Warga Myanmar itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini secara haram.

Sementara itu, polis menambah bahawa mayat kanak-kanak lelaki itu akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat.

Dilaporkan semalam kanak-kanak itu maut selepas disyaki memakan makanan dari tong sampah.

Kanak-kanak berusia dua dan empat tahun itu ditemui bapa mereka dalam keadaan tidak stabil kira-kira jam 4.30 petang semalam, berhampiran tong sampah di Bukit Malut, Langkawi.

Kanak-kanak itu berhenti bernafas selepas beberapa minit dan penduduk kampung menghubungi polis. Kematian mereka disahkan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.