Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ibu lapor polis agar tiga anak dikembalikan

Seorang ibu berusia 34 tahun, Loh Siew Hong, membuat laporan polis bagi meminta kepulangan tiga anaknya, yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Mohd Radzi Ahmad mengesahkan menerima laporan yang dibuat pada Sabtu.

"Polis sedang dalam proses mengumpul maklumat lanjut kerana kami perlu meneliti untuk tempoh yang agak lama," kata Radzi kepada Malaysiakini.

Loh dalam laporan polisnya berkata dia telah berpisah dengan suaminya yang berbangsa India sejak Mac 2019 dan kemudiannya berpisah daripada anak-anaknya - sepasang kembar berusia 14 tahun dan seorang berusia 10 tahun.

Selepas penceraian pasangan itu, Loh berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac tahun lepas membenarkan hak penjagaan kepada tiga anak itu.

Dia melakukan pencarian selama sembilan bulan namun tidak berhasil sebelum meminta bantuan polis Bukit Aman.

“Pada 10 Jan 2022, saya menerima (mesej) di Facebook Messenger daripada akaun milik seorang wanita bernama xxx (nama dirahsiakan).

“Saya melihat mesej itu pada 19 Jan dan segera cuba mencari kenalan wanita itu di Google, dan saya menghantar mesej WhatsApp kepadanya bertanyakan tentang anak-anak saya,” kata Loh.

“Wanita itu mengaku anak saya bersamanya dan menghantar gambar mereka kepada saya.

"Sejak hari itu saya minta dia pulangkan anak saya tetapi dia enggan dan terus memberi alasan yang tidak logik. Dia juga tidak membenarkan saya bercakap dengan anak saya," kata Loh dalam laporannya.

Loh berkata, dia kemudian pergi ke sekolah tahfiz swasta di Tasek Gelugor pada 11 Feb selepas dimaklumkan bahawa anak-anaknya ada di sana, sebelum dimaklumkan oleh pelajar lain bahawa mereka telah dipindahkan sehari sebelumnya.

Panggilan seterusnya kepada wanita yang menghantar mesej kepadanya itu tidak dijawab tetapi Loh berkata wanita itu telah menelefon dengan memberi arahan supaya dia datang ke Perlis berseorangan pada 12 Feb, jika ingin melihat anak-anaknya.

"Saya membuat laporan polis ini untuk mendapatkan bantuan segera bagi mengembalikan anak-anak saya kepada saya, mengikut perintah mahkamah bertarikh 24 Mac 2021," katanya.

Malaysiakini turut melihat dokumen perintah mahkamah yang antara lain menyatakan bahawa polis diperintahkan untuk memberikan semua bantuan yang perlu dan munasabah dengan menggunakan penguatkuasaan yang munasabah (jika perlu) terhadap responden atau mana-mana pihak lain untuk memindahkan kanak-kanak itu ke dalam jagaan pempetisyen.

Sementara itu, timbalan ketua menteri (II) Pulau Pinang P Ramasamy berkata Loh sebelum ini ditempatkan di rumah perlindungan untuk mangsa penderaan rumah tangga

Namun selepas dibenarkan pulang dia tidak dapat berhubung dengan tiga anaknya.

“Apabila dia menghubungi ibu bekas suaminya, lokasi anak-anak itu tidak didedahkan.

“Kemudian ada orang menghubunginya memaklumkan anak-anaknya berada dalam jagaan pihak berkuasa agama di Perlis,” kata Ramasamy.

“Memandangkan anak-anaknya beragama Hindu, Loh tidak menolak kemungkinan suaminya telah mengislamkan mereka sebelum meletakkan mereka di bawah jagaan pihak berkuasa agama Islam di Perlis.

“Ini seolah-olah mengulangi apa yang berlaku kepada anak-anak Indira Gandhi selepas dia bercerai dengan suaminya yang memeluk Islam,” katanya.

Ramasamy berkata walaupun masih tidak jelas sama ada anak-anak Loh telah ditukar agama secara unilateral, polis harus menyiasat di mana mereka berada.

Malaysiakini telah menghubungi Loh untuk mendapatkan ulasan lanjut.