Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR umum 20 calon esok, kedudukan Muda samar

PRN JOHOR | PKR dijadual mengumumkan calonnya di semua 20 kerusi PRN Johor yang telah diperuntukkan oleh Pakatan Harapan (PH) esok, menurut jemputan yang dihantar PKR negeri.

Ini menimbulkan tanda tanya apakah rundingan PKR dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menemui jalan buntu.

Pemimpin PKR mengambil sikap berdiam diri mengenai perkara itu, manakala pemimpin Muda berkata mereka masih belum dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Berdasarkan jemputan yang dikeluarkan Setiausaha PKR Johor Naim Jusri, kerusi-kerusi DUN berkenaan meliputi kerusi di Johor Selatan, Tengah dan Utara - termasuk Larkin, Gambir dan Sri Medan - tiga kerusi yang dikatakan gagal mencapai kata sepakat dengan Muda.

Lapan calon akan diumumkan di Hotel Thistle, Johor Bahru, lima calon di Bilik Gerakan PKR N25 Rengit, manakala tujuh calon lagi akan diumumkan di Hotel Pelican, Batu Pahat.

“Diminta setiap DUN yang terlibat hadir pada majlis tersebut dengan 20 ahli,” kata Naim.

Ketika dihubungi, Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab Rahani berkata, pimpinan di peringkat negeri masih belum dimaklumkan mengenai keputusan muktamad berhubung permintaan Muda untuk mendapatkan tiga kerusi daripada PKR.

Amanah dan DAP telah memuktamadkan rundingan mereka dengan Muda pada 9 Feb lalu dengan menyerahkan enam kerusi kepada parti itu.

“Kita akan lihat pada hari pengumuman sama ada PKR akan menyebut calon di kerusi berkenaan.

"Sekarang perbincangan di peringkat pusat, antara presiden. Di peringkat negeri, Muda telah menyatakan tuntutan kita, jadi sekarang kita tunggu keputusan," kata Azrol kepada Malaysiakini.

Rundingan kerusi

Sumber sebelum ini berkata permintaan Muda untuk mendapatkan kerusi Gambir dan Larkin sukar ditunaikan.

PKR sebaliknya bersedia menawarkan kubu kuat Umno di Sri Medan, Semarang dan Benut .

Sebelum ini ditetapkan bahawa syarat rundingan kerusi itu ialah mana-mana kerusi yang mahu ditandingi Muda bukan kerusi yang pernah ditandingi PKR pada pilihan raya umum 2018.

Ini menyebabkan Muda hanya boleh memperolehi kerusi yang ditandingi Bersatu, yang diperuntukkan semula kepada PKR selepas Bersatu meninggalkan PH.

Ditanya mengenai langkah Muda seterusnya, Azrol berkata ia bergantung kepada keputusan PKR dengan menyebut pelawaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim agar pembangkang bersama dalam 'khemah besar' di Johor.

Sementara itu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata parti itu telah mengadakan persiapan bagi mengumumkan 20 calonnya selepas Muda enggan menerima kerusi yang ditawarkan.

"Dalam pilihan raya negeri yang mencabar ini, adalah penting untuk mula bekerja awal dan calon boleh membuat persiapan mereka sebaik sahaja diumumkan.

"Tawaran telah dibuat dan masa diberi (untuk pertimbangan). Sehingga kini tiada perubahan daripada Muda, jadi kami teruskan persiapan kami," kata Adun Ledang itu kepada Malaysiakini.

Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi sumber PKR berkata sebarang pengumuman yang dibuat esok adalah muktamad.

"Esok kita akan lihat," kata sumber itu.

Hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 26 Feb manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 12 Mac.


Laporan tambahan oleh Fion Yap