Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | PRN Johor bukan untuk eksperimen

ULASAN | Ini bukan pilihan raya kecil di mana hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi pertaruhan.

Ini satu pilihan raya umum di peringkat seluruh negeri Johor yang melibatkan 56 DUN. Ini pilihan raya untuk membentuk sebuah kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun, dari 2022 hingga 2027.

Tiga gabungan parti politik yang besar terlibat dalam PRN Johor kali ini iaitu BN, PH dan Perikatan Nasional (PN).

Ketiga-tiga gabungan politik ini mempunyai pengalaman dalam mentadbir kerajaan Johor. BN paling lama memerintah di Johor sehingga ia ditumbangkan pada tahun 2018 dalam PRU ke-14.

PH pula mempunyai pengalaman mentadbir selama 22 bulan sehingga ia ditumbangkan angkara pengkhianatan melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.

PN yang diterajui Bersatu juga ada pengalaman mentadbir di Johor ketika berada di dalam gabungan PH dan kemudian dalam kerajaan campuran BN-PN selepas Langkah Sheraton.

Jadi tiga buah gabungan politik ini, BN, PH dan PN merupakan pencabar utama dalam PRN Johor kali ini.

PH ketika mentadbir Johor selama 22 bulan ada kelemahan dan kegagalan juga. Fakta ini tidak dinafikan malah perlu diakui. Tetapi PH berjaya dalam banyak perkara  ketika mentadbir Johor kurang dua bulan untuk genap dua tahun.

Satu perkara yang menjadi kejayaan utama kerajaan PH di Johor ialah dari segi menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Kerajaan PH telah mengadakan lawatan menarik pelaburan asing secara agresif dalam tempoh 22 bulan ia berkuasa. Hampir setiap bulan Exco yang bertanggungjawab dalam perusahaan antarabangsa telah dihantar ke beberapa pusat ekonomi dunia untuk membawa pelaburan ke Johor.

Hasil dari usaha yang bersungguh-sungguh itu, maka Johor telah muncul sebagai negeri yang paling banyak menarik modal asing dari pertengahan 2018 sehingga awal tahun 2020, sebelum kerajaan PH Johor ditumbangkan angkara pengkhianatan politik.

Kejayaan ini adalah fakta, bukan retorik, bukan propaganda pilihan raya.

Jadi dalam PRN Johor sekarang ini, PKR dan PH menawarkan diri supaya dipilih sekali lagi oleh rakyat Johor.


HASSAN ABDUL KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasm Malaysiakini.